Penarafan Globetronics dinaikkan kepada 'neutral', keputusan 1QFY24 selaras unjuran MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Penarafan Globetronics dinaikkan kepada 'neutral', keputusan 1QFY24 selaras unjuran MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - MIDF Research menyemak naik penarafan Globetronics Technology Bhd kepada 'neutral' berbanding 'jual' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) RM1.10 selepas keputusan 1QFY24 kumpulan itu adalah selaras dengan unjuran mereka.

 

Katanya, prestasi kewangan kumpulan itu adalah selaras dengan unjuran walaupun hanya membentuk 13.8% daripada anggaran pendapatan tahun penuh.

 

"Pada kebiasaannya, keputusan bagi suku pertama Globetronics adalah lemah tetapi kami menjangkakan ia menjadi lebih baik pada separuh kedua tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan adalah lebih rendah iaitu RM29.9 juta berbanding RM33.1 juta pada 1QFY23 disebabkan pemuatan volum yang lebih rendah daripada pelanggan tertentu kumpulan itu.

 

Kadar penggunaan kekal di bawah paras 70% iaitu sekitar 67% hingga 68% namun segmen penderia kekal sebagai penyumbang hasil terbesar pada 61%, diikuti oleh komponen SLL/LED (22%) dan IC (17%).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 1QFY24 Globetronics melonjak 73.4% kepada RM5.7 juta

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan menyatakan bahawa pemuatan volum untuk segmen perniagaan utama kumpulan, iaitu perniagaan penderia, kekal lemah.

 

Bagaimanapun, ini dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini memandangkan pembangunan pelanggan atau produk baharu kerana kumpulan itu ditetapkan untuk mendapat manfaat daripada strategi China +1 dan Taiwan + 1.

 

"Memandangkan prestasi pendapatan 1QFY24 selari dengan jangkaan, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap anggaran pendapatan kumpulan ketika ini.

 

"Harga sasaran kami juga utuh pada RM1.10. Kami menjangkakan risiko penurunan terhad terhadap kumpulan itu," katanya.- DagangNews.com