Pentamaster catat untung bersih RM19.37 juta pada 1QFY24, susut hampir 10% setahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Pentamaster catat untung bersih RM19.37 juta pada 1QFY24, susut hampir 10% setahun sebelumnya

PENTAMASTER CORPORATION BERHAD
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMUR 9 Mei - Pentamaster Corporation Berhad mencatat untung bersih RM19.37 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), susut hampir 10% daripada RM21.27 juta setahun sebelumnya.

 

Syarikat pembuatan automasi dan penyedia rumusan teknologi itu memperoleh pendapatan berjumlah RM170.79 juta, 3.3% lebih tinggi berbanding RM165.3 juta pada 1QFY23.

 

Dalam ulasan kepada Bursa Malaysia hari ini, Pentamaster berkata, kebanyakan pendapatan disumbangkan oleh segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan rumusan automasi kilang (FAS) yang merangkumi kira-kira 42.6% and 57.3% daripada pendapatan keseluruhan kumpulan.

 

"Kumpulan mengakhiri 1Q2024 dengan untung sebelum cukai sebanyak RM30.8 juta (1Q2023:
RM34.3 juta), penurunan kira-kira 10.2%," katanya.

 

Kata kumpulan itu, hasil daripada segmen ATE merosot kira-kira RM38.2 juta daripada RM111.4 juta pada suku yang sama sebelumnya kepada RM73.2 juta pada 1Q2024.

 

"Ini berikutan pergolakan dan pemulihan gangguan rantaian bekalan yang tidak menentu selain pemulihan permintaan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam normalisasi inventori kadar dalam suku pelaporan," ujarnya.

 

Sementara itu, mengenai prospek, Pentamaster berkata, dengan tekanan inflasi yang berterusan, ketegangan geopolitik, ketidakjelasan dasar kerajaan dan gangguan rantaian bekalan, Kumpulan memasuki tahun 2024 dengan berhati-hati.

 

"Kelestarian menjadi keutamaan strategik yang disokong oleh tiga pendekatan iaitu diversifikasi produk, geografi dan segmen," katanya yang memaklumkan segmen peranti perubatan masih membentuk bahagian terbesar dalam buku pesanan semasa Kumpulan.

 

Ini diikuti oleh sumbangan dari segmen automotif, disebabkan oleh strategi diversifikasi Kumpulan. - DagangNews.com