RHB Investment jangka OPR kekal pada paras 3 peratus sepanjang tahun ini | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka OPR kekal pada paras 3 peratus sepanjang tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - RHB Investment mengekalkan pandangan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada paras 3% sepanjang 2024 walaupun terdapat ketidaktentuan inflasi.

 

Katanya, terdapat tiga faktor utama akan mempengaruhi OPR iaitu momentum ekonomi Malaysia yang dijangka berkembang sebanyak 4.6% berbanding 3.7% pada tahun lalu.

 

"Faktor kedua ialah momentum inflasi, indeks harga pengguna (CPI) utama dijangka meningkat kepada 3.3% pada tahun ini berbanding 2.5% pada 2023

 

"Trend kadar faedah global yang akan memberi impak lebih kecil tetapi masih menyumbang kepada BNM untuk membuat keputusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Negara kekalkan OPR pada paras 3 peratus

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah-langkah penyatuan fiskal seperti pelarasan harga bahan api dan tarif utiliti ditambah dengan semakan dalam cukai perkhidmatan, berpotensi menaikkan inflasi utama sebanyak 0.7%-1.1% kepada ramalan tahunan sebanyak 3.3%.

 

Mengulas mengenai rasionalisasi subsidi bahan api,  katanya, tidak ada keputusan muktamad mengenai tarikh sebenar Malaysia akan melaksanakan pemotongan subsidi bahan api.

 

"Pada pendapat kami, rasionalisasi subsidi bahan api mungkin akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan terukur bagi mengehadkan kejutan kepada pergerakan harga keseluruhan," katanya.

 

RHB Invetment berkata, memandangkan ekonomi dijangka kekal kukuh pada tahun ini, teradapat kebarangkalian terhadap BNM akan mengurangkan OPR.

 

Mereka menjangkakan momentum pertumbuhan Malaysia akan meningkat pada tahun ini disokong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan aktiviti sektor pembuatan.

 

"Momentum pengeluaran perindustrian dan eksport telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini di tengah-tengah penghantaran keluar yang lebih tinggi bagi elektrik dan elektronik (E&E) dan produk berasaskan petroleum.

 

"Sementara itu, pertumbuhan penggunaan swasta di Malaysia dijangka dirangsang oleh keadaan permintaan pasaran buruh yang sihat. 

 

"Kami mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.6% untuk 2024 berbanding 3.7% untuk 2023," katanya. - DagangNews.com