KUALA LUMPUR 15 Mei - RHB Research melancarkan 20 "permata" saham syarikat bermodal kecil (small capital) Malaysia terbaik untuk 2024 merentasi sembilan sektor, dengan 16 daripada saham tersebut adalah tersenarai di Pasaran Utama.
Empat saham teknologi adalah sebahagian daripada senarai tersebut iaitu Oppstar Bhd, Cloudpoint Technology Bhd, QES Group Bhd dan TT Vision Holdings Bhd.
Di bawah sektor produk dan perkhidmatan perindustrian, lima kaunter ditampilkan – AWC Bhd, Engtex Group Bhd, MCE Holdings Bhd, Supercomnet Technologies Bhd dan YBS International Bhd.
Bagi sektor pembinaan pula, Inta Bina Group Bhd, Kimlun Corp Bhd dan Muhibbah Engineering (M) Bhd diketengahkan.
Senarai 20 “permata” itu juga termasuk tiga saham dalam ruang produk dan perkhidmatan pengguna – Ablegroup Bhd, Karex Bhd dan Shangri-La Hotels (M) Bhd.
Kaunter lain dalam senarai itu ialah New Hoong Fatt Holdings Bhd (kenderaan); PA Resources Bhd (bahan asas); UMediC Group Bhd (penjagaan kesihatan); Deleum Bhd (minyak dan gas) dan Avaland Bhd (hartanah).
RHB Research berkata 20 pilihan saham bermodal kecil teratas mempunyai purata permodalan pasaran RM545 juta dan pulangan ke atas ekuiti sebanyak 11.2%.
Edisi 2023 sebelum ini bagi Top 20 Small-Cap Jewels telah mengatasi prestasi pasaran luas, memberikan pulangan tempoh pegangan sebanyak 46.4% dan mengatasi pulangan FBM KLCI dan FBM Small Cap masing-masing sebanyak 13% dan 21.4%.
“Tahun lalu telah ditandai dengan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini, di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan ketegangan geopolitik, daya tahan pasaran modal telah menyerlah.
“Berlatarbelakangkan prospek ekonomi yang lebih baik pada 2024, persekitaran politik yang stabil, disertai aliran dana yang lebih kukuh ke pasaran sedang pesat membangun di tengah-tengah kemuncak kadar Dana Persekutuan AS, saham tersenarai dalam negeri telah mengalami rali yang luar biasa – membawa Malaysia muncul sebagai salah satu pasaran berprestasi terbaik di Asean,” katanya. - DagangNews.com