Top Glove ganti Public Bank jadi syarikat kedua terbesar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Top Glove ganti Public Bank jadi syarikat kedua terbesar Malaysia

top glove

KUALA LUMPUR 24 Julai - Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) mengambil kedudukan Public Bank sebagai syarikat kedua terbesar di Malaysia, berdasarkan modal pasaran iaitu sebanyak RM70.4 bilion.

Angka itu sekaligus meletakkan Public Bank di tangga ketiga dengan modal pasaran sebanyak RM69.5 bilion dan Malayan Banking Berhad (Maybank) masih mengungguli kedudukan pertama (RM88.6 bilion).

Menurut data yang dikeluarkan Bloomberg, lonjakan mendadak oleh saham Top Glove telah menutup jurang antara modal pasarannya sebanyak RM63 bilion pada awal tahun 2020 dengan Public Bank.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn. Asia Tenggara, Danny Wong menyarankan para pelabur untuk menambahkan saham sarung tangan ke dalam portfolio pelaburan mereka.

“Syarikat pengeluar sarung tangan menunjukkan prestasi positif didorong oleh permintaan yang tinggi ketika penularan COVID-19 di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan daya tarik pelaburan mereka.

Top Glove dan syarikat yang menjalankan perniagaan serupa mungkin dapat mengungguli sebagai syarikat terbesar di Malaysia dalam tempoh masa yang singkat berikutan permintaan tinggi,” kata beliau seperti dipetik Bloomberg.

 

bloomberg
GRAF yang menunjukkan nilai pasaran Top Glove melepasi Public Bank. - Gambar oleh Bloomberg

 

Fenomena berkenaan telah melonjak Top Glove sebagai saham kedua terbesar dalam penanda aras ekuiti Malaysia, diikuti oleh pengeluar sarung tangan yang lain. 

Semalam, saham Top Glove yang hampir menduduki di tangga bawah Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI pada awal tahun ini ditutup dengan nilai pasaran RM70.4 bilion.

Angka itu mengatasi Public Bank yang merupakan syarikat kewangan ketiga terbesar di Malaysia dari segi aset dimiliki.

Hari ini, saham kedua-dua syarikat menunjukkan graf yang lebih rendah.

Saham Top Glove mencatatkan peningkatan sebanyak 453% pada tahun ini, manakala Public Bank dan Maybank masing-masing menurun sebanyak 9%. - DagangNews.com