UiTM mempelopori dunia keusahawanan agroteknologi menerusi Smart Agro-Solarpreneur | DagangNews Skip to main content

UiTM mempelopori dunia keusahawanan agroteknologi menerusi Smart Agro-Solarpreneur

Oleh Prof Ts. Dr Salmiah Kasolang

KEUSAHAWANAN agroteknologi merupakan satu elemen penting dalam memacu inovasi dan pembangunan dalam sektor pertanian di Malaysia.

 

Keusahawanan agroteknologi merujuk kepada usaha untuk mengintegrasikan teknologi dalam aktiviti pertanian dan industri makanan yang melibatkan penggunaan teknologi moden dalam proses pertanian, pemprosesan makanan, pengurusan sumber, dan pemasaran produk pertanian.

 

Aspek utama keusahawanan agroteknologi merangkumi inovasi dalam pertanian, penggunaan teknologi hijau, pemasaran digital, kelestarian sumber, penggiliran tanaman dan pengurusan tanah secara praktikal.

 

 

Prof Ts. Dr Salmiah Kasolang
                Prof Ts. Dr Salmiah Kasolang

 

 

Integrasi teknologi dalam aktiviti pertanian melalui keusahawanan agroteknologi ini dapat meningkatkan produktiviti, memastikan kelestarian sumber semulajadi, dan memperkenalkan cara yang lebih efisien serta mampan untuk menghasilkan sumber makanan atau boleh tambah keterjaminan sumber makanan negara.

 

Pada tahun 2021, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah memperkenalkan Smart Agro-Solarpreneur sebagai salah satu inisiatif “UiTM Signature Program” dan merupakan pelaksanaan projek berbentuk Agropreneur.

 

Smart Agro-Solarprenuer adalah merupakan gabungan projek usahawan vendor Solar, Fertigasi dan Kelulut, dan adalah dibawah tajaan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan sumbangan dana berjumlah RM150,000.00.

 

Program ini bertujuan untuk menggabungkan bidang agroteknologi dengan teknologi hijau yang memacu pertumbuhan keusahawanan dalam sektor pertanian yang progresif dan dinamik.

 

 

wainuiomata

 

 

Program ini telah dirasmikan oleh mantan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor sebagai tanda sokongan dan komitmen universiti dalam memajukan bidang keusahawanan agroteknologi.

 

Projek ini telah dilaksanakan di bawah pemantauan Akademi PKS dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MASMED) dan UiTM Cawangan Terengganu dan penyertaan adalah terdiri daripada 6 orang alumni usahawan yang terpilih.

 

Para peserta ini diberikan latihan praktikal selama 2 bulan di pusat latihan/inkubator di UiTM Dungun, Terengganu.

 

Sepanjang tempoh latihan, para peserta telah didedahkan kepada proses ketiga-tiga bidang iaitu Fertigasi, Solar dan Kelulut.

 

Para peserta dibimbing oleh pakar yang mahir dan berpengalaman dalam bidang agroteknologi sepanjang latihan tersebut.

 

Setelah tamat sesi latihan, para peserta diberikan bantuan oleh pihak pengajur dengan permulaan modal dalam bentuk bahan keperluan bagi penyediaan pembinaan “ladang agro/sarang kelulut” di kediaman masing-masing.

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Sesi pemantauan seterusnya akan dijalankan bagi memastikan projek para peserta dapat diteruskan secara mampan dengan memanfaatkan pengetahuan dan bimbingan yang diperoleh semasa latihan.

 

Program Smart Agro-Solarpreneur dilihat sebagai sebuah inisiatif yang berpotensi untuk memperkasakan bidang keusahawanan agroteknologi, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang sedang mencari hala tuju dalam kerjaya mereka.

 

Program ini melibatkan penggunaan teknologi terkini iaitu sistem solar dalam keseluruhan perlaksanaan operasi bagi mewujudkan elemen inovasi yang amat releven dengan tema “Global Sustainable Development Goals”.

 

Secara tuntasnya, keusahawanan agroteknologi membawa bersama elemen inovasi yang tinggi dalam aktiviti pertanian. Ia melibatkan penerokaan dan penggunaan teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, dan menjana sumber yang lebih mampan.

 

Inisiatif seperti penggunaan teknologi hijau dalam sektor pertanian dapat mengurangkan impak negatif ke atas alam sekitar dan sumber semulajadi.

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Ini termasuk penggunaan sistem pengurusan air yang pintar, amalan pertanian organik, dan inovasi yang mengurangkan penggunaan bahan kimia sintetik.

 

Di samping itu, pemasaran digital memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan visibiliti dan akses kepada pasaran untuk produk-produk agrikultur yang mana ia dapat mengukuhkan lagi keusahawanan agroteknologi melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. - DagangNews.com

 

 

PROF Ts. DR. SALMIAH KASOLANG adalah Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi PKS dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA