Unifi Mobile tawar 30,000 kad SIM prabayar percuma kepada jemaah haji 2024 | DagangNews Skip to main content

Unifi Mobile tawar 30,000 kad SIM prabayar percuma kepada jemaah haji 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Unifi Mobile hari ini menawarkan sejumlah 30,000 kad SIM prabayar percuma kepada jemaah haji, kakitangan dan sukarelawan Tabung Haji bagi musim 2024.

 

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada program Sahabat Korporat TH 2024, dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) menyediakan perkhidmatan ketersambungan dan nilai tambah digital untuk jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci.

 

Menerusi program itu, mereka yang menunaikan haji pada tahun ini layak menerima kad SIM Unifi Mobile sebagai sebahagian daripada tawaran Pas Timur Tengah mereka.

 

Ketua Pegawai Komersial Unifi, Segmen Pengguna, Jasmine Lee berkata, TM memberi sokongan kepada Tabung Haji selama lebih 39 tahun dan sejak 1995, pihaknya menyediakan perkhidmatan dan faedah lain sebagai sebahagian daripada Shabat Korporat TH.

 

Beliau berkata, sebagai peneraju perkhidmatan bersepadu negara, inisiatif itu adalah sejajar dengan komitmen keseluruhan mereka bagi memperkayakan kehidupan dan komuniti melalui teknologi, memastikan ketersambungan yang lancar dan berpatutan untuk jemaah haji semasa berada di luar negara.

 

“Dengan penawaran pelan prabayar dengan harga yang paling berpatutan di pasaran, kami menyediakan data dan pas tanpa had yang boleh digunakan oleh jemaah haji sepanjang tempoh lawatan mereka ke Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tawaran Pas Timur Tengah Unifi Mobile yang disesuaikan akan merangkumi pelbagai pelan data tanpa had untuk pilihan pelanggan bagi memenuhi keperluan ketersambungan mereka semasa mengerjakan haji, dengan pas satu hari berharga RM15 hingga pas 45 hari berharga RM125.

 

Pelanggan yang bakal menunaikan ibadah haji boleh melayari https://unifi.com.my/mobile/roaming untuk maklumat lanjut.- DagangNews.com