Untung bersih 1QFY24 Globetronics melonjak 73.4% kepada RM5.7 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY24 Globetronics melonjak 73.4% kepada RM5.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Untung bersih suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) Globetronics Technology Bhd melonjak 73.4% kepada RM5.7 juta berbanding RM3.3 juta pada tahun sebelumnya disokong tukaran mata wang asing yang lebih baik serta pendapatan faedah lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun lebih rendah iaitu RM29.9 juta berbanding RM33.1 juta pada 1QFY23.

 

"Untung bersih yang lebih baik dicapai pada suku semasa adalah disebabkan keuntungan tukaran mata wang asing sebanyak RM1.8 juta yang diiktiraf dalam penyata pendapatan berbanding kerugian RM65,000 pada suku sama berakhir 31 Mac 2023.

 

"Selain itu pendapatan faedah yang lebih tinggi sebanyak RM1.3 juta diiktiraf dalam pendapatan berbanding pendapatan faedah sebanyak RM900,000 pada suku sama tahun sebelumnya," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, industri semikonduktor terus mengalami isu makroekonomi dan geopolitik yang mencabar mengakibatkan keadaan asaran yang sukar dijangka. 

 

Kumpulan itu berkata, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya dan terus berusaha meminimumkan sebarang potensi pendedahan atau gangguan yang timbul daripada cabaran itu.

 

"Kumpulan ini secara aktif melibatkan diri engan beberapa pelanggan berpotensi untuk mendapatkan perniagaan baharu pada masa hadapan.

 

"Ia juga kekal optimis tetapi kekal berhati-hati dan menghalang sebarang keadaan yang tidak dijangka untuk mencapai prestasi kewangan yang memuaskan pada tahun ini," katanya. - DagangNews.com