Hilang kerja semasa COVID-19, kisah benar
Usai menghirup secangkir kopi O pagi tadi, saya disapa oleh seorang teman untuk duduk bersama satu meja. Kenalan saya ini kemudiannya membuka akhbar tabloid lalu membaca tajuk 1.9 juta bakal hilang pekerjaan.
Sambil membaca akhbar tersebut, beliau turut membaca ayat kadar pengangguran di negara ini juga akan naik hingga 12 peratus daripada keseluruhan 15 juta tenaga kerja di negara ini.
Tidak cukup dengan itu, MIER juga mendapati bahawa sejumlah 60 peratus golongan profesional pengurusan, eksekutif dan juruteknik telah diberhentikan sejak PKP dilaksanakan.
Sambil membaca berita tersebut, terpancar raut wajah kerisauan di muka beliau. Kemudiannya dia bertanya kepada saya apakah saya tidak risau dengan keadaan yang berlaku sekarang? Sampai bila Covid19 ini akan berlaku? Kita ni teruk sekarang, hidup makin susah.
Jelas sekali kenalan saya ini agak gelisah dengan apa yang sedang berlaku pada hari ini. Kenalan saya ini bekerja sendiri sebagai mekanik motosikal. Punca pendapatan utamanya ialah dengan membaiki motosikal pelajar universiti dan staf.
Namun, apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh pihak kerajaan, punca pendapatannya terjejas teruk. Pelajar universiti yang selalu berulang-alik, semuanya terperap di bilik sewaktu PKP dilaksanakan.
Tambah memburukkan keadaan apabila pelajar-pelajar ini dihantar pulang ke kampung 2 minggu sebelum hari raya aidilfitri. Selepas semua pelajar diarahkan pulang, pendapatan harian kenalan saya ini juga sangat terjejas. Mujurlah ada sedikit simpanan duit pencen yang banyak menyelamatkan beliau disamping bantuan-bantuan kewangan lain yang telah diberikan oleh pihak kerajaan.
Kisah kesempitan hidup yang dialami oleh kenalan saya ini adalah sedikit cebisan kisah-kisah yang mungkin kita telah dengar dan lihat dengan mata kepala kita sendiri yang berlaku di sekeliling kita.
Kisah kenalan saya yakni abang S,(bukan nama sebenar) yang berlaku di kawasan pinggir sebuah universiti yang terletak di kawasan utara tanahair jelas membuktikan bahawa kita sebenarnya sedang “berperang” dengan kegawatan ekonomi yang sedang berlaku.
Gawat yang sedang berlaku ini memang sama sekali tidak dijangka kerana wabak penyakit COVID-19 yang hanya disangka sebagai demam biasa pada awalnya telah berubah secara total menjadi pandemik yang menakutkan di seluruh dunia.
Pandemik yang berlarutan sejak bulan Mac hinggalah ke hari ini telah menyaksikan pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan terutamanya dari sudut pencegahan daripada merebak hinggalah membawa kepada pelbagai perkara yang dilakukan untuk menyelamatkan ekonomi negara.
Menerusi pelbagai inisiatif yang telah diberikan oleh pihak kerajaan sebagai usaha untuk menjaga kebajikan rakyat, namun harus diakui bahawa bantuan yang telah diberikan ini masih lagi tidak mencukupi.
Cadangan yang telah diutarakan oleh bekas Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak agar pihak kerajaan dapat melanjutkan moratorium adalah merupakan satu cadangan yang baik. Tempoh moratorium yang akan berakhir pada September nanti perlulah dikaji semula agar dapat dilanjutkan kerana pandemik ini dijangka tidak akan berakhir pada waktu terdekat.
Pemulihan sektor ekonomi yang berlaku akan mengambil masa. Justeru, rakyat pada ketika ini sangat memerlukan aliran tunai untuk berbelanja. Bahkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pada satu ketika menggalakkan rakyat untuk berbelanja.
Agak tidak masuk akal sekiranya pihak bank berkeras untuk tidak mahu melanjutkan tempoh moratorium selepas ini seandainya saranan Perdana Menteri supaya berbelanja diambil kira.
Tidak hanya tertakluk kepada moratorium, pihak kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk memberikan kembali bantuan tunai one off seperti yang telah dilakukan sebelum ini.
Bantuan tunai sebanyak RM1,600 yang diberikan pada bulan kedua PKP dilaksanakan adalah sangat wajar diberikan semula supaya dapat memastikan rakyat kita boleh berbelanja dan diharap agar dapat membantu memulihkan ekonomi negara.
Adalah wajar bagi pihak kerajaan untuk menilai semula polisi yang telah dilaksanakan untuk menjaga kebajikan rakyat seperti PRIHATIN, PENJANA dan polisi-polisi lain supaya dapat diteruskan semula selepas ini.
Jika negara kita sudah diiktiraf sebagai antara negara terbaik di dunia dalam menguruskan pandemik Covid19, tidak salah rasanya untuk negara kita muncul sebagai negara terbaik dalam menguruskan kemaslahatan dan kebajikan rakyatnya. - DagangNews.com