SELAMAT HARI PAHLAWAN, PERWIRAKU!
"Mad, rumah awak tak pasang bendera ke?," tegur Pak Long, orang yang saya kenal dan mengambil upah memotong rumput di rumah saya sejak 5 tahun yang lalu. Sudah lama sebenarnya Pak Long ini saya kenal dan tidak ada orang lain yang akan saya panggil untuk memotong rumput di rumah saya. Saya terdiam dan tidak menjawab pertanyaan Pak Long itu.
Saya hanya memberitahu Pak Long yang saya ada memasang pelekat bendera Malaysia di dalam kereta. Terus Pak Long mengangkat thumbs up kepada saya. Kebetulan, dua orang jiran saya sudah pun memasang bendera kebangsaan di rumah masing-masing. Sambil mencakar dan mengumpul rumput di tanah, Pak Long terus mengeluh. Katanya susah nak jumpa rumah orang pasang bendera di rumah sekarang ni. Kalua ada pun yang pasang, mesti ada orang tua di rumah tu. Silap-silap orang tua itu askar pencen, polis pencen, orang pencen kerajaan, kata Pak Long.
Mengenali Pak Long, beliau adalah seorang bekas anggota tentera. Selepas pencen, Pak Long menceburi bidang lanskap dan pernah bertugas mengendalikan lanskap di sebuah padang golf sebelum diberhentikan sejak 5 tahun yang lalu akibat daripada masalah kewangan yang dihadapi syarikat tempat beliau bekerja. Pak long kemudiannya menceburi tugas memotong rumput di kawasan taman perumahan hinggalah hari ini.
Naratif penceritaan Pak Long ini sebenarnya turut berkait rapat dengan pelbagai keadaan yang kita sedang hadapi pada hari ini. Bermula daripada kurangnya kesedaran masyarakat kita terhadap kempen menggantung bendera di rumah sendiri hinggalah kepada cerita kehidupan selepas persaraan perkhidmatan anggota keselamatan kita yang pernah bertugas menjaga kedaulatan dan keselamatan negara kita ini.
Naratif ini mungkin juga tidak dapat lari daripada tindakan atau kesedaran daripada masyarakat kita tentang betapa pentingnya kita untuk menghargai titik peluh, keringat dan jasa anggota keselamatan di negara ini yang pernah bertugas menjaga nama dan kedaulatan negara.
Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa adanya satu kempen yang telah diadakan sebelum ini yang bertujuan untuk membantu bekas anggota-anggota keselamatan di dalam negara ini.
Kempen Tabung Pahlawan misalannya adalah merupakan satu inisiatif yang telah mula dilaksanakan pada 1950 dan hingga 2019, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk membuat kempen dan kutipan Tabung Pahlawan. Kutipan itu disalurkan buat golongan veteran ATM yang menghadapi kecacatan atau kurang upaya, balu veteran kategori orang kurang upaya (OKU), bantuan bencana alam, kebakaran rumah dan kerusi roda.
Tahun lalu, Kempen Tabung Pahlawan 2019 telah berjaya mengutip sebanyak RM9.2 juta iaitu melebihi sasaran minimum sebanyak RM5 juta. Menurut kenyataan oleh Datuk Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Pertahanan, kempen Tabung Pahlawan yang akan dilancarkan pada bulan Ogos ini akan mengutip sumbangan daripada syarikat korporat dan individu di seluruh negara.
Melalui kutipan sebanyak RM9.2 juta ini secara kasarnya mungkin tidak dapat menampung keupayaan tabung ini yang akan disalurkan bantuannya kepada 90,000 orang anggota tentera yang tidak mempunyai pencen, menurut data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Barangkali tabung ini juga turut sama membantu kebajikan anggota tentera yang mempunyai pencen. Jadi, tidak terlambat seandainya pihak berkenaan untuk melihat kembali strategi yang boleh digunakan untuk menarik minat masyarakat kita supaya dapat menyumbang. Kempen kesedaran secara berterusan perlu dirancang supaya golongan anggota tentera veteran kita tidak dilupakan malahan akan sentiasa diingati.
Mengambil contoh dengan apa yang telah dilakukan di Amerika Syarikat dalam membantu anggota tentera veteran mereka, kempen flagcampainusa yang boleh diakses di laman web https://flagcampaignusa.com adalah salah satu langkah yang boleh dipraktikkan di negara kita.
Kita sangat kagum dengan keupayaan rakyat di negara-negara lain yang menghargai semangat juang anggota keselamatan di negara mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama, kita tidak ketahui bahawa budaya bersedekah melalui pelbagai-bagai cara yang dilakukan sebenarnya adalah menjadi satu-satunya perkara yang sangat digalakkan oleh agama kita sendiri.
Sudah tiba masanya kita sebagai rakyat Malaysia memupuk budaya bersedekah ataupun menyumbang kepada golongan yang memerlukan. Budaya ini sebenarnya perlulah bermula dari rumah dan tidak hanya bergantung harap daripada kerajaan.
Sesungguhnya amalan mulia seperti bersedekah ini bukan sahaja amalan yang sangat disukai oleh Tuhan maha pencipta tetapi ia juga adalah merupakan amalan mulia yang sangat dipandang tinggi oleh masyarakat.
Kepada semua anggota keselamatan, Selamat Hari Pahlawan, Perwiraku! - DagangNews.com
Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.