Mentaliti kampung? Apa kena mengena dengan konsert Taylor Swift? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 11 Mar 2024 07:53 AM

MENTALITI KAMPUNG? APA KENA MENGENA DENGAN KONSERT TAYLOR SWIFT? 

 

 

 

TULAR di media sosial bagaimana Malaysia terlepas peluang ekonomi pelancongan dengan Konsert gah Taylor Swift di Singapura.

 

Ada yang mengatakan pemimpin Malaysia mempunyai `mentaliti kampung' kerana tidak cuba membawa bintang dunia itu ke Malaysia. 

 

 

hikayat

 

 

Pertama, menggunakan pepatah ‘Mentaliti Kampung’ itu dalam intonasi merendahkan masyarakat kampung benar benar menghina orang kampung yang sebenarnya mempunyai keunikan dan keterampilan tersendiri.

 

Khazanah berzaman yang diwarisi sebenarnya mempunyai nilai tidak terhingga yang boleh mengubah landskap di luar bandar jika ada pemimpin yang memberi perhatian serius kepada peluang pelancongan di luar bandar melalui eko-pelancongan, arkeo-pelancongan dan ‘immersive experience tourism’.

 

Bandar yang semakin sesak dan menghadapi cabaran kemiskinan bandar tidak mempunyai peluang penumbuhan ekonomi sebegini.

 

Lihat saja Terrapuri dan Tanjung Jara Resort di Terengganu dan Rumah Tiang 16 di Lenggong  yang begitu berjaya mementingkan konsep pelancongan kampung Melayu. 

 

Kedua, pelancongan merupakan satu industri yang terbuka kepada banyak jenis pasaran. Singapura terpaksa mengetengahkan bandaraya moden, pertunjukkan ultravaganza, dan makanan Asia Tenggara kerana di Singapura tidak ada keindahan semula jadi.

 

Tapak Warisan UNESCO hanya ada satu iaitu Taman Botani Singapura berbanding Malaysia yang mempunyai empat Tapak Warisan UNESCO dan pelbagai Geopark yang bakal ditambah dari masa ke masa.

 

Malah, Singapura terpaksa menamakan Durian sebagai ‘National Fruit’ walaupun di Singapura tidak ada ladang pengeluaran durian pun. 

 

Berbalik kepada laungan "Mentaliti Kampung", ia seringkali dianggap sebagai sindiran atau ejekan yang merendahkan. Istilah seperti 'Jaguh Kampung' sering dipakai untuk merendahkan seseorang yang dianggap tidak berdaya-saing di luar negara.

 

Namun, sebaliknya, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat mentaliti kampung dari sebuah perspektif yang lebih positif.

 

Terdapat beberapa contoh terbaik dari kampung yang perlu diperkatakan:

 

1. Adab

Masyarakat kampung sering kali dikenali kerana sikap sopan santun dan adab yang tinggi. Nilai-nilai seperti hormat menghormati, tolong-menolong, dan kesopanan masih dijaga dengan rapi dalam kehidupan kampung.

 

2. Gaya Hidup Lebih Santai

Berbanding dengan hidup di bandar yang serba cepat dan kompetitif, kehidupan kampung cenderung lebih tenang dan santai. Ini membantu mengurangkan tekanan dan stres yang sering dialami oleh penduduk bandar.

 

3. Keindahan seni bina Melayu

Senibina rumah Melayu antara senibina asal atau vernikular terindah di seluruh dunia. Ia begitu mesra alam dan telah kekal ratusan tahun. Setiap bahagian senibina ini teratur bentuk dan kegunaannya.

Dari serambi, anjung, rumah ibu. Ketinggian pintu memaksa pengunjung tunduk, membayangkan sifat hormat dan rendah diri masyarakat Melayu. Setiap sudut seboleh mampu, dihiasi dengan ukiran yang tinggi nilai seninya.

Begitu juga senibina kapal, perahu di laut dan juga balai gambang di sungai  yang bukan saja begitu tahan lasak, malah indah buatannya. 

 

4. Kelestarian

Di kampung, rasio kepadatan penduduk seperti di Sarawak dan Pahang boleh memberikan satu gaya hidup yang lebih mesra alam, memulihara khazanah bumi.

Di Pahang terdapat Taman Negara, dan di Sarawak Warisan Unesco Gunung Mulu menjadi antara tarikan utama Negeri Burung Kenyalang itu. Pemuliharaan warisan ini semakin digalakkan dan pelancong memang mencari destinasi yang jauh dari hiruk pikuk bandar raya. 

 

5. Komuniti Bermasyarakat

Masyarakat kampung biasanya rapat dan saling menjaga antara satu sama lain. Budaya gotong-royong masih diamalkan dengan kerapian, dan inilah yang menjadikan masyarakat kampung lebih bersatu dan harmoni. 

 

6. Kos Hidup Lebih Murah

Hidup di kampung sering kali lebih murah berbanding di bandar. Kos makanan, perumahan, dan keperluan asas lain turut lebih rendah, membantu penduduk untuk menguruskan keluarga dan kewangan dengan lebih baik.

 

7. Warisan Ubatan Tradisional

Masyarakat kampung sering memiliki pengetahuan warisan ubatan tradisional. Mereka biasanya menggunakan herba dan kaedah tradisional untuk merawat penyakit atau masalah kesihatan, yang kadang-kadang terbukti lebih berkesan.

Bahasa Melayu mengandungi begitu banyak perkataan yang merujuk kepada perubatan tradisional. Kitab Tib bukti kearifan masyarakat tradisi menangani penyakit. 

 

8. Hidangan paling lazat dan ehem…Durian Kampung!

Di kampung dan kawasan luar bandar, kita boleh mendapatkan hidangan lazat seperti nasi dagang, sambal belacan, gulai ikan patin tempoyak, dan durian yang paling enak di seluruh Asia Tenggara. Durian Musang King, Black Thorn, D24 dan bermacam-macam lagi! 

 

Justeru, jelas bahawa kehidupan kampung sebenarnya mengandungi banyak nilai positif yang boleh kita teladani dan juga untuk membangkitkan peluang pelancongan. 

 

Sebenarnya pengalaman rumah kampung yang nyaman, merupakan daya tarikan pelancongan yang amat UNIK dan memukau dari negara kita. 

 

Sebagai masyarakat moden, penting bagi kita untuk tidak mengabaikan warisan dan nilai-nilai yang dipegang teguh oleh masyarakat kampung. Gotong-royong, adab sopan, dan gaya hidup yang kurang stres adalah sesuatu yang boleh memberi impak positif kepada kehidupan kita.

 

Oleh itu, mari kita ubah pandangan negatif terhadap mentaliti kampung dan mulakan menghargai serta mempraktikkan nilai-nilai positif yang terdapat dalam kehidupan kampung.

 

Dengan memahami dan menerima kebaikan dari setiap segi kehidupan, kita dapat menjadi seseorang yang lebih berdaya dan berakhlak mulia di dalam masyarakat kita. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb