Definisi al-Qawaid al-Fiqhiyyah secara gabungan atau terma khas
SETELAH memahami definisi secara dua patah perkataan yang terpisah iaitu ‘al-qawa’id’ dan ‘al-fiqhiyyah’, maka perlu dilihat pula makna perkataan ini jika digabungkan atau sebagai satu istilah khas.
Definisi penggabungan perkataan ‘al-qawa’id’ al-fiqhiyyah’ secara bersekali digelar sebagai ‘lafzan laqaban’ atau ‘mustalahan ilmiyyan’ atau ‘fannan syariyyan’ oleh para ulama sebelum membahaskan secara mendalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Definisi ‘Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah’ menurut perspektif Bahasa
Secara mudah dapat dirumuskan bahawa apabila kedua-dua perkataan itu digabungkan akan menjadi satu untaian istilah baru yang mewakili satu disiplin ilmu yang berasingan. Maka ‘al-qawa’id’ al-fiqhiyyah’ bermaksud satu susunan kaedah yang berkaitan dengan hukum-hukum fiqh yang diambil dari dalil-dalil yang terperinci.
Menerusi pendekatan bahasa terhadap perkataan ‘kaedah’ dan ‘al-fiqh’, ia akan dapat mempermudahkan seseorang memahami pengertian istilah al-qawa’id al-fihiyyah secara terminologinya.
Terdapat pelbagai definisi al-qawaid al-fiqhiyyah secara terminologi yang telah dikemukakan oleh para ulama:
Pertama, menurut al-Suyuti mendefinisikan hukum ‘kulli’ yang meliputi bahagian-bahagiannya.
Kedua, menurut Taj al-Din al-Subki mendefinisikan perkara ‘kulli’ yang merangkumi (tercakup hukumnya) ke atas perkara-perkara juz’i yang banyak serta dapat difahami akan hukum-hukum (bagi perkara juz’i) daripadanya.
Ketiga, menurut Zayn al-‘Abidin b. Ibrahim (Ibn Nujaym al-Hanafi) mendifinasikan sesuatu yang dikembalikan kepadanya hukum dan diperincikan hukum ke atasnya.
Keempat, menurut Mustafa Ahmad al-Zarqa’ mendefinisikan dasar-dasar fiqh yang bersifat ‘kulli’ yang tertera dalam bentuk nas-nas ringkas berbentuk teks-teks perundangan yang ringkas dan berbentuk statut yang terkandung di dalamnya hukum-hukum perundangan berbentuk umum (bagi) kejadian-kejadian berlaku yang termasuk di bawah naungannya.
Kelima, menurut Muhammad Abu Zahrah mendefinisikan kumpulan hukum-hukum yang serupa yang Kembali kepada qiyas/analogi yang mengumpulkannya.
Keenam, menurut al-Taftazany mendefinisikan suatu hukum yang bersifat universal yang dapat diterapkan kepada seluruh bahagiannya agar dapat dikenalpasti hukum-hukum bahagian tersebut darinya.
Ketujuh, menurut al-Jurjani mendefinisikan ketentuan universal yang bersesuaian dengan seluruh bahagian-bahagiannya.
Kelapan, menurut al-Hamawiy mendefinisikan hukum yang bersifat majoriti bukan hukum universal yang dapat diaplikasikan kepada kebanyakan bahagian-bahagiannya agar hukum-hukumnya diketahui darinya.
Kesembilan, menurut Ali Ahmad al-Nadwi mendefinisikan dasar fiqh yang bersifat menyeluruh mengandungi hukum-hukum syarak yang bersifat umum dalam pelbagai bab tentang peristiwa-peristiwa yang masuk di dalam ruang lingkupnya.
Sekiranya dianalisis definisi-definisi yang telah dikemukan oleh para ulama, terdapat dua kelompok dalam menjelaskan dan menghuraikan definisi.
Kelompok pertama menyatakan hukum yang digunakan secara majoriti (aghlabi / akthari) yang meliputi kebanyakan cabang-cabangnya supaya diketahui akan hukumnya.
Manakala kelompok kedua pula menyatakan perkara-perkara menyeluruh (kulli) yang mengandungi atau merangkumi pecahan-pecahan atau perkara juzuk di bawahnya.
Kesemua definisi di atas, walaupun berbeza dari segi ungkapan lafaz-lafaznya, namun adalah merujuk kepada makna yang sama.
Kesimpulannya, al-qawa‘id al-fiqhiyyah dapat dirumuskan pengertiannya sebagai satu himpunan atau susunan kaedah yang bersifat ‘kulli’ (umum) yang terangkum di dalamnya sejumlah masalah fiqh dan melaluinya dapat diketahui hukum-hukum bagi masalah-masalah fiqh yang tercakup di dalam ruang lingkup atau ruang cakupannya. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD