Kaedah Berdamping dengan al-Quran
MENURUT Bahasa, al-Quran mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, ‘qiraah’ bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telas selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.” (Surah al-Qiyaamah: 17-18)
Manakala menurut istilah pula ialah kitab yang diturunkan Allah SWT secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat iaitu mendapat pahala jika dibaca yang terangkum dari awal surah al-Fatihah hingga akhir surah al-Nas.
Terdapat beberapa kaedah atau cara untuk sentiasa bersemangat dan termotivasi berdamping bersama al-Quran dalam kehidupan seharian yang boleh diaplikasikan oleh setiap masyarakat Islam.
Pertama, mewujudkan rasa keistimewaan al-Quran yang luar biasa berbanding dengan kitab-kitab lain. Kitab-kitab terdahulu telah banyak diubah, namun keaslian al-Quran masih kekal terpelihara hingga ke hari ini.
Terdapat cubaan untuk memalsukan dan mengubah isi kandungan al-Quran, namun segalanya gagal dan dapat dikesan oleh masyarakat Islam untuk dicegah dan dihalang sebaiknya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kitab (al Quran) itu tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 2)
Berdasarkan ayat di atas boleh difahami bahawa wujud larangan meragukan al-Quran atau boleh juga difahami bahawa al-Quran tidak wajar diragukan kerana tidak wujud langsung kelemahan dan kekurangan.
Kedua, membina rasa minat dan suka terhadap al-Quran. Perasaan teruja menyebabkan seseorang akan asyik dan memberi fokus yang tinggi terhadap sesuatu perkara yang diminati.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” (Surah al-Anfal: 2)
Ketiga, menjadikan al-Quran sumber pedoman kehidupan (taujihat) atau nasihat untuk diri sendiri. Hati perlu sentiasa terbuka dan bersedia untuk menerima teguran dan panduan yang terdapat di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al- Quran ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: 24)
Keempat, memahami pengulangan perkataan dan ayat yang terdapat di dalam al-Quran adalah bertujuan untuk pengukuhan dan peringatan kepada manusia dalam menjalani kehidupan seharian.
Contohnya pada ayat-ayat yang menjelaskan tentang kekuasaan Allah SWT dari penciptaan langit, bumi angkasa raya dan sebagainya.
Sebanyak lapan kali seperti ayat 8 dan 9 telah diulang-ulang di dalam surah al-Syu’ara. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda kekuasaan Allah. Dan kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Syu’ara: 8-9)
Demikianlah antara kaedah dan cara yang boleh diamalkan oleh masyarakat Islam untuk sentiasa berdamping bersama al-Quran bagi menjadi pedoman dan petunjuk di dalam kehidupan. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD