Sejarah perkembangan disiplin ilmu ‘Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah’
ILMU al-qawa‘id al-fiqhiyyah telah mula wujud dan diaplikasikan sejak zaman Nabi SAW, namun ia tidaklah diajar dalam bentuk disiplin ilmu seperti yang dipelajari pada hari ini.
Al-qawa‘id al-fiqhiyyah pada asalnya telah wujud dan dibentuk daripada pelbagai teks al-Quran, hadis daripada Nabi SAW, kata-kata atau ‘athar’ para sahabat, tabi‘in, tabi‘-tabi‘in dan sebagainya.
Sejarah disiplin ilmu al-qawa‘id al-fiqhiyyah telah mula terbentuk pada abad ke-4 dan ke-5 Hijrah berbanding dengan ilmu usul al-fiqh yang lebih dahulu diwujudkan sebagai suatu disiplin ilmu sejak pada abad ke-2 Hijrah lagi.
Terdapat dua fasa perkembangan ilmu al-qawa‘id al-fiqhiyyah iaitu fasa pembentukan kaedah-kaedah fiqh dan fasa pembukuan kaedah-kaedah fiqh.
Fasa pertama, pembentukan kaedah-kaedah fiqh tidaklah berlaku secara sekaligus dan serentak seperti proses mengkanunkan undang-undang, sebaliknya secara beransur-ansur setelah zaman perkembangan fiqh.
Kaedah-kaedah fiqh telah dirumuskan sedikit demi sedikit secara beransur-ansur sehingga akhirnya menjadi banyak dan diletakkan di bawah satu disiplin ilmu yang khusus.
Rumusan-rumusan kaedah tersebut adalah hasil daripada perbahasan demi perbahasan para ulama yang berautoriti dan berkeahlian dalam bidang ‘takhrij’ dan ‘tarjih’ dengan cara meng’istinbat’kan (mengeluarkan) kaedah-kaedah tersebut berdasarkan penelitian terhadap sumber-sumber syariah, prinsip-prinsip usul al-fiqh, ‘illat hukum dan dari pemikiran ulama sendiri.
Secara umum, para pengkaji sukar untuk menentukan ulama pelopor yang menjadi perintis penyusunan disiplin ilmu al-qawa‘id al-fiqhiyyah dan bilakah al-qawa‘id al-fiqhiyyah pertama kali diwujudkan.
Namun, terdapat catatan bahawa al-qawa‘id al-fiqhiyyah telah mula diasaskan oleh Syaikh Abu Yusuf Ya‘kub Ibrahim al-Ansari berdasarkan satu kaedah fiqh yang telah ditemui dalam kitabnya yang bertajuk ‘al-kharaj’.
Selain itu, Ibn Nujaym pula berpandangan bahawa para ulama Hanafiyyah adalah pelopor sebagai golongan yang awal dalam berusaha menggagaskan al-qawa‘id al-fiqhiyyah.
Fasa kedua, al-qawa‘id al-fiqhiyyah telah disusun dan dibukukan untuk memastikan kaedah-kaedah tersebut dapat diwarisi sebagai satu khazanah ilmu Islam yang sangat bernilai.
Abu Tahir al-Dabbusi al-Hanafi salah seorang ahli fiqh pada abad keempat hijrah adalah ulama terawal yang tellah mengumpulkan kaedah fiqh menurut mazhab Abu Hanifah sebanyak tujuh belas kaedah dalam ungkapan dan ibarat yang sistematik.
Seterusnya, diikuti pula oleh Abu Zaid ‘Abd Allah Ibn ‘Umar al-Din al-Dabusi al-Hanafi, telah menyusun Kitab Ta’sis al-Nazar pada kurun kelima Hijrah yang mengandungi sejumlah 86 kaedah kulliyyah berserta dengan perbahasan terperinci berkenaan kaedah-kaedah tersebut.
Selanjutnya, disusuli pula oleh al-‘Allamah Muhammad b. Ibrahim al-Jarmial Sahlaki mengarang kitab al-Qawa‘id fi Furu‘ al-Syafi‘iyyah dan al-Imam ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam pula mengarang kitab berjudul Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam pada kurun ke-7 Hijrah.
Kemudian diteruskan lagi oleh beberapa orang tokoh ilmuan pada abad kelapan Hijrah yang dikenali sebagai zaman keemasan dalam proses penulisan dan pembukuan ilmu al-qawa‘id al-fiqhiyyah antaranya ialah
a) Kitab al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn al-Wakil al-Shafie
b) Kitab al-Qawa’id oleh al-Muqarra al-Maliki
c) Kitab al-Majmu` al-Muhadhdhab fi Dabt Qawa’id al-Madhhab oleh al-`Alla’i al-Syafie
d) Kitab al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Taj al-Din al-Subki,
e) Kitab al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Jamal al-Din al-Isnawi
Kemuncak perkembangan penulisan al-qawa‘id al-fiqhiyyah adalah wujudnya kitab Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah yang dihasilkan pada tahun 1286 Hijrah dan mula dikanunkan pada 26 Sya‘ban 1992 Hijrah oleh Kerajaan Uthmaniyyah.
Fasal 2 hingga 100 Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah mengandungi 99 kaedah fiqhiyyah yang dimasukkan ke dalam peruntukan tersebut.
Hampir keseluruhan kaedah tersebut diambil daripada Kitab al-Ashbah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaym dan beberapa daripada beberapa kitab ulama mazhab Hanafi yang lain. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD