Faedah dan Kepentingan Mempelajari Ilmu ‘Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah’
BERDASARKAN panduan dan merujuk dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah, Athar dan ijtihad, para ulama telah menyenaraikan pelbagai prinsip-prinsip (kaedah-kaedah) fiqh yang boleh menjadi panduan masyarakat Islam dalam mendepani cabaran semasa.
Terdapat beberapa kaedah dan kepentingan mempelajari ilmu ‘al-qawaid al-fiqhiyyah’ yang boleh diperoleh.
Pertama, membantu para mujtahid dalam melakukan ijtihad dan menetapkan sesuatu hukum fiqh.
Hukum-hukum yang sudah ditetapkan dalam kaedah fiqh sangat sesuai untuk menjawab segala persoalan tentang cabang atau sampingan yang timbul dalam perkara berkaitan isu-isu semasa.
Isu-isu semasa sangat luas dan memerlukan kaedah fiqh bagi membantu mencari jalan keluar dan menyelesaikan masalah hukum.
Terdapat pelbagai isu dan penciptaan moden telah dilakukan oleh manusia yang memerlukan penyelesaian dan jawapan terhadap isu dan permasalahan yang timbul berdasarkan hukum Islam.
Kedua, berpandukan ilmu kaedah fiqh, boleh memudahkan para mujtahid mengistinbatkan hukum sesuatu masalah dengan cara menggolongkan kepada masalah yang sama di bawah satu kaedah.
Kaedah fiqh adalah sebagai garis panduan kepada para ulama dalam melaksanakan penyelidikan hukum. Kaedah fiqh telah menetapkan formula teras atau asas untuk diguna pakai sebagai rujukan sebelum memulakan sesuatu penyelidikan.
Setiap persoalan baharu yang timbul dalam pelbagai isu boleh dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah serta kaedah fiqh bagi menentukan sesuatu hukum yang timbul pada masa kini.
Ketiga, membantu kehidupan manusia menjadi lebih mudah, selesa, cepat dan melampaui norma kehidupan biasa. Kaedah fiqh telah membantu pihak yang terlibat dengan bidang sains dan teknologi untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu dalam operasi dan inovasi.
Isu-isu semasa dan berkaitan sains teknologi mampu ditangani melalui panduan kaedah fiqh supaya proses dalam penyelidikan dan inovasi mendapat keredhaan dan keberkatan Allah SWT.
Justeru, melalui kaedah fiqh, para saintis dan golongan teknorat akan dapat mengatasi masalah kesulitan manusia dan membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang baru timbul dalam masyarakat masa kini.
Keempat, melalui ilmu ini, seseorang itu tidak perlu menghafal masalah juz’iyyat yang terlalu banyak jumlahnya, kerana masalah juz’iyyat tersebut sudah termasuk dalam kaedah-kaedah kulliyah.
Kelima, pecahan dan cabang-cabang masalah fiqh dapat dikuasai dan diketahui melalui kaedah fiqh.
Keenam, kaedah fiqh merupakan suatu ilmu yang penting sebagai panduan dan dasar untuk mengeluarkan hukum-hukum pecahan dan cabang.
Ketujuh, menjadikan seseorang itu lebih faham akan penghayatan fiqh dan mampu untuk menghubung serta mengeluarkan hukum-hukum, seterusnya mengetahui hukum daripada masalah-masalah yang tidak termaktub serta hukum masalah yang sentiasa wujud sepanjang masa.
Demikianlah beberapa faedah dan kepentingan ilmu ‘al-qawaid al-fiqhiyyah’ yang boleh dirasakan oleh setiap pihak yang terlibat dalam memahami dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD