Athirah Fathnin: Tokoh Keusahawanan Fakulti Sains Kesihatan UITM 2020 dan 2021
Oleh Hairenanorashikin Sharip
“Pada waktu lapang, saya tidak gemar melepak dan menonton drama Korea.
“'Saya akan selesaikan tugasan akademik terlebih dahulu, kemudian saya akan luangkan masa untuk perniagaan dan juga aktiviti persatuan”, ujar gadis muda berusia 22 tahun yang berasal dari Ketereh, Kelantan.
Athirah Fathnin Aziran, pelajar semester 6, Ijazah Sarjana Muda Dietetik, Universiti Teknologi MARA (UITM) Puncak Alam, Selangor merupakan anak sulung daripada 5 orang adik beradik.
Beliau bukan sahaja aktif dalam persatuan tetapi juga komited dalam pelajaran. Ini terbukti dengan kejayaannya memperoleh anugerah dekan setiap semester semenjak daripada semester pertama lagi.
Pada sesi pengajian 2021, dia telah diberikan amanah sebagai Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik (NADA), Fakulti Sains Kesihatan UITM.
Siapa sangka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 yang telah dilaksanakan pada tahun 2020 merupakan pencetus kepada langkah Athirah Fathnin untuk terlibat dalam bidang keusahawanan.
Bermula dengan niat untuk mengisi masa lapang dan mencari duit poket tambahan, Athirah Fathnin kini mampu memperolehi pendapatan yang agak lumayan sebagai seorang pelajar dengan hanya menjadi dropshipper (pemesan) kepada produk pakaian Muslimah berjenama Haurabelle.
Athirah Fathnin memilih untuk menjadi dropshipper bagi produk berasaskan pakaian kerana dia tidak perlu menyimpan stok memandangkan semua stok adalah daripada pembekal di ibu pejabat; serta tidak perlu membuat penghantaran ke rumah pelanggan.
Jelasnya, model ini sangat mudah, fleksibel dan sesuai dengan statusnya sebagai seorang pelajar. Melihatkan hasil jualan yang diperoleh dengan usaha dan titik peluh sendiri menjadi pendorong kepada Athirah Fathnin untuk lebis serius dalam memberikan komitmen.
“Modal saya semasa memulakan perniagaan ini hanyalah kos untuk membayar pelan internet sahaja. Malah, ketika mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kos pendaftaran pada tahun pertama adalah percuma. Untuk tahun berikutnya, saya telah membayar sebanyak RM60 untuk tempoh 3 tahun”, terang Athirah Fathnin.
Ternyata program-program keusahawanan yang dianjurkan oleh pihak universiti banyak membantu Athirah Fathnin dalam mempelajari selok-belok perniagaan, khususnya dalam bidang pemasaran.
Mengakui bahawa kos untuk mengikuti kurusus pemasaran yang dikendalikan oleh mentor perniagaan yang hebat di luar sana agak mahal, Athirah Fathnin bersyukur kerana pihak UITM banyak menyediakan kursus keusahawanan secara percuma kepada pelajar.
Antara program anjuran Akademi Pembangunan PKS dan Keusahwanan Malaysia (MASMED) UITM yang disertai termasuklah Business Bootcamp 2022, Shopee UITM E-mall, Webinar On Entrepreneural Marketing: Content Creation, Social Media Marketing, Goal Setting dan Idea di Zaman Covid serta Roket Pemasaran Momentum.
Athirah Fathnin juga turut menyertai pelbagai program keusahawanan yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di Fakulti Sains Kesihatan, UITM Puncak Alam.
Jumlah hasil jualan yang berjaya diperoleh oleh Athirah Fathnin ialah di antara RM10,000 sehingga RM30,000 setiap bulan. Manakala untuk komisen jualan pula, Atirah Fathnin mampu menjana pendapatan di antara RM1,000 sehingga RM3,000 setiap sebulan. Satu jumlah yang agak lumayan bagi seorang pelajar yang menjalankan perniagaan hanya dengan menjadi seorang dropshipper.
“Pada awalnya, saya hanya menggunakan platform instagram sahaja untuk memasarkan produk. Kini saya telah mula menggunakan platform Shopee dan Tik Tok memandangkan saya telah pulang ke kampus dan ada kelas yang dijalankan secara bersemuka.
''Paltform Shopee lebih memudahkan untuk saya memasarkan produk jualan, terutamanya ketika ini sesi kuliah dan makmal ada yang dijalankan secara bersemuka,” ujarnya.
Ditanya adakah semangat keusahawanan yang ada pada dirinya merupakan bakat yang diwarisi daripada keluarga, Athirah menjelaskan bahawa ibu dan bapanya bukanlah seorang usahawan. Ibunya merupakan seorang guru dan ayahnya pula merupakan seorang pensyarah.
Ketika memulakan langkah sebagai dropshipper dua tahun yang lepas, Athirah menangguhkan untuk memaklumkan tentang penglibatan dalam perniagaan kerana tidak mahu mereka risaukan pelajarannya.
Dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang pada setiap semester dan terpilih sebagai Tokoh Keusahawan Fakulti Sains Kesihatan UITM pada tahun 2020 dan 2021, Athirah Fathnin tidak ragu-ragu lagi untuk memaklumkan kepada ibu dan bapanya.
Malah ibu dan bapa Athirah Fathnin turut berbangga dengan pencapaian yang telah diperolehnya. Athirah Fathnin telah membuktikan bahawa dia mampu untuk memberikan komitmen dalam apa sahaja bidang yang diceburinya.
Dietetics is my power, leadership is an enhancement and business is my passion. Slogan yang dipilih oleh Athirah Fathnin ini sangat tepat untuk menggambarkan siapa dirinya.
Sesungguhnya pengalaman di UITM banyak mengajar Athirah Fathnin untuk menjadi insan yang lebih matang. Semoga Athirah Fathnin terus cemerlang serta dapat menabur bakti dan jasa kepada masyarakat kelak. - DagangNews.com