Ini bukan kisah Willy Wonka dan Kilang Coklatnya  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 16 May 2022 08:40 AM

 Ini bukan kisah Willy Wonka dan Kilang Coklatnya 

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

 

 

SIAPA tidak kenal Famous Amos, satu jenama yang terkemuka di mata dunia. Pengasasnya adalah Wallace “Wally” Amos, Jr. yang berasal dari Tallahassee, Florida, Amerika Syarikat mengasaskan biskut jenama Famous Amos pada tahun 1975.

 

Jenama Famous Amos ini menjadi satu kisah kejayaan dalam sejarah industri makanan kerana membantu mengubah cita rasa rakyat Amerika serta beliau juga menjadi lelaki kulit hitam yang memecahkan halangan warna dalam industri ini.

 

Kebangkitan dan kejatuhan beliau perlu diambil sebagai teladan buat semua usahawan.

 

Wally Amos berkecimpung dalam industri makanan dengan suntikan modal pelaburan berjumlah AS$25,000 daripada penghibur Marvin Gaye dan Helen Reddy. 

 

Bermula dengan sebuah kedai kecil di Sunset Boulevard di Hollywood, California, di sinilah kisah Wally Amos dan biskut hasil resipi keluarga bermula.

 

 

mulanya di sini
Kedai pertama Famous Amos terletak di Sunset Boulevard di Hollywood, California

 


Pada tahun pertama beliau berjaya menjual biskut sebanyak AS$300,000. Selepas setahun memulakan perniagaan, dia berjaya mencatat angka AS$1 juta dari penjualan biskut dan lebih membanggakan, kurang dari 10 tahun, beliau berjaya mencatat rekod penjualan sebanyak AS$12 juta.

 

Rekod ini dicatatkan pada tahun ke-7 beliau menjalankan perniagaan. Dan pada tahun yang sama, produk keluarannya berjaya ditempatkan di pasar raya.

 

Selepas beberapa siri pengambilalihan selama bertahun-tahun, jenama Famous Amos masih wujud tetapi kini dimiliki oleh Kellogg Corporation.

 

Kemunculan Wally  Amos di dalam rancangan TV popular Shark Tank sebagai salah seorang peserta dan juga usahawan tertua patut diambil teladan oleh para usahawan atau sesiapa sahaja yang berniat untuk memulakan sesuatu perniagaan supaya sentiasa berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan.

 

Bagi usahawan, memulakan sesuatu perniagaan adalah sukar apabila ia melibatkan semua aspek pengurusan baik dari segi pentadbiran, penghasilan dan pengeluaran produk, pemasaran serta menguruskan kewangan dengan baik.

 

Situasi ini seringkali berlaku apabila usahawan mula mengembangkan sayap sama ada untuk Penyelidikan Pembangunan mahupun meluaskan empayar perniagaan. Ini yang terjadi pada Wally Amos dan sebagai usahawan kita perlu belajar sesuatu dari kegagalan dan sikap tidak mudah menyerah kalah serta berputus asa.

 

Kejatuhan Wally Amos bermula pada tahun 1985, apabila perniagaan beliau mula mencatat kerugian sebanyak AS$300,000 dan hasil jualan menurun kepada AS$10 juta.

 

Antara faktor kerugian adalah disebabkan pertumbuhan yang pesat dalam industri ini serta persaingan dari jenama yang terkenal seperti Mrs. Fields’ Original Cookies and barisan produk terkenal atasan (premium) Duncan Hines dan Nabisco. Perlahan-lahan Famous Amos mula kehilangan saham dalam pasaran.

 

 

mulanya di sini

 

 

Dia menyalahkan dirinya sendiri atas kegagalan dan kejatuhan jenama Famous Amos kerana tersilap membuat percaturan dan keputusan yang buruk.

 

Wally Amos juga mengakui bahawa dalam beberapa aspek perniagaan, dia sebenarnya berjalan ke arah perangkap yang sentiasa dan menunggu masa untuk menjatuhkan kebanyakan usahawan.

 

Walaupun dia berjaya mencipta perniagaan yang berkembang maju tetapi dia tidak mempunyai semua kemahiran yang diperlukan untuk memastikan perniagaannya bertahan dan berkembang.

 

Dia mengakui dia bukan seorang ahli perniagaan yang hebat tapi dia sedar dia hanya berbakat dalam bidang pemasaran dengan kebolehan dan naluri pemasar yang luar biasa dan hebat.

 

Kesilapan Wally Amos juga datang dari ego beliau sendiri sebagai pengasas jenama terkenal ketika itu “Famous Amos”.

 

Wally Amos dianggap degil kerana tidak mahu mendengar dan menerima nasihat dari orang yang berpengalaman dalam perniagaan.

 

Beliau juga gagal melantik pengurus yang berpengalaman dan bersesuaian untuk membantu beliau dalam perniagaannya.

 

Dengan keadaan perniagaan yang teruk dengan hasil penjualan yang merosot ditambah dengan hutang kediaman yang terakru.

 

 

mulanya di sini

 

 

Di sini Wally Amos terjun ke dalam perangkap usahawan, dengan membuat keputusan yang silap - mencairkan pemilikan dengan menjual ekuiti dengan tujuan untuk mengumpul wang.

 

Wally Amos tidak menjual sebahagian ekuiti beliau tetapi sebaliknya menjual majoriti kepentingan perniagaan kepada Bass Brothers Enterprises dengan harga AS$1.1 juta hanya untuk menyelamatkannya dirinya sendiri yang terbeban dengan masalah kewangan.

 

Selepas itu jenama Famous Amos bertukar tangan ke Baking Company tetapi dengan harga yang lebih mahal iaitu sebanyak AS$61 juta, lebih daripada 55 kali ganda daripada apa yang Wally Amos dapat semasa melepas kepentingan kawalannya ke Bass Brothers Enterprises.

 

Pada masa yang sama, Wally Amos cuba bangkit dengan melancarkan biskut terbaru dengan harga premium berasakan kacang hazelnut yang dinamakan Wally Amos Presents.

 

Tetapi ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia disaman kerana melakukan pelanggaran tanda dagangan. Ini disebabkab Wally Amos dilarang dan tidak dibenarkan menggunakan nama dan rupanya sendiri untuk tujuan perniagaan.

 

Wally Amos menyesal dengan keputusan  bodoh yang dibuatnya dahulu kerana dia tidak hanya menjual perniagaan tetapi pada masa yang menjual masa depan dirinya (Famous Amos) bersama-sama dengannya.

 

 

mulanya di sini
Kedai Famous Amos di Sunway Pyramid.

 


Pada tahun 1996 akibat terbeban dengan hutang yang banyak, Wally Amos telah menfailkan kebankrapan dirinya. Tiga tahun selepas itu, Wally Amos telah diberi peluang oleh pemilik baharu jenama Famous Amos dengan menandatangani perjanjian sebagai jurucakap.

 

Wally Amos bersetuju menjadi jurucakap dengan syarat yang pemilik baharu ini akan membuat resipi biskut Famous Amos ini menyerupai resipi asal.

 

Ini adalah pahit manis yang terpaksa ditelan oleh Wally Amos kerana dia adalah pengasas tetapi sekarang dia hanya bertindak menjadi jurucakap berbayar kepada jenama Famous Amos.

 

Jodoh beliau sebagai jurucakap tidak panjang apabila beliau tekad untuk memulakan perniagaan yang baru iaitu muffin dinamakan sebagai Uncle Wally's Muffin Co. Serta membuka kedai bakeri di Hawai'i.

 

Di samping itu, Wally Amos juga ada menulis beberapa judul buku mengenai pengalamannya, antara judul tersebut ialah Man With No Name: Turn Lemons into Lemonade, The Famous Amos Story: The Face That Launched 1,000 Chips dan The Power In You.

 

Sebagai seorang usahawan yang tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa berusaha untuk bangkit serta sentiasa berusaha untuk celik huruf, Wally Amos adalah penerima anugerah National Literacy Honors Award, Horatio Alger Award dan juga President's Awards for Entrepreneurial Excellence.

 

mulanya di sini

 

Berbalik kepada kemunculan beliau di Shark Tank pada usia 80 tahun, dia cuba untuk mendapatkan dana untuk produk biskut keluaran terbarunya yang diberi nama The Cookie Kahuna.

 

Tetapi malangnya dia gagal untuk mendapatkan perhatian daripada jerung pelabur. Dan perniagaan The Cookie Kahuna sekali lagi gagal untuk bertahan. Tetapi di sini kita boleh lihat yang Wally Amos adalah seorang usahawan yang tidak cepat berputus asa dan sentiasa cuba bangkit daripada setiap siri kegagalan. Malangnya nasib tidak menyebelahi beliau.

 

Memetik kata Paul Karofsky, Pengarah Eksekutif Pusat Perniagaan Keluarga Northeastern University.

 

''Seorang usahawan mempunyai tahap kecekalan yang sangat tinggi tetapi mempunyai kelemahan iaitu daya perhatian yang sangat rendah” dan ''mereka boleh menghasilkan sesuatu konsep (merujuk kepada pelan perniagaan) dengan cemerlang tetapi berhempas pulas dalam melaksanakan.''

 

Kebanyakan usahawan melahirkan idea-idea baharu berkenaan produk atau servis mahupun menghasilkan pelan perniagaan yang blokbuster, tetapi tanpa kecekalan, pengalaman, kemahiran serta latar belakang pendidikan yang betul ia akan menjadi halangan buat semua usahawan menukarkan konsep perniagaan kepada perniagaan yang berdaya saing.

 

Seperti kisah Wally Amos - "Semua usahawan mahu jadi hebat dan mempunyai perniagaan yang berdaya saing tapi tanpa kecekalan, pengalaman, kemahiran dan pendidikan ia akan hanya menjadi saka halangan untuk buat semua usahawan.

 

 

mulanya di sini

 

 

Ini adalah cerita tentang Wally Amos bukan Willy Wonka, karakter fiksyen dalam filem Charlie and the Chocolate Factory- DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Ketua Jabatan Penjenamaan Korporat, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MULANYA DI SINI