PROGRAM NOVICE MENCIPTA USAHAWAN MUDA
Oleh Ahmad Ghazali Ismail
MELAHIRKAN usahawan bukanlah usaha satu malam, tapi memerlukan proses yang berterusan.
Proses ini memerlukan acuan yang tepat, agar kualiti usahawan yang dilahirkan itu adalah yang terbaik.
Melahirkan seorang usahawan di peringkat sekolah mahupun universiti bukanlah semudah memaksa mereka menghadiri kelas dan kursus keusahawanan semata-mata, tapi lebih daripada itu.
Mereka seharusnya dipupuk minat mereka, dididik dengan kemahiran dan dijiwai dengan nilai-nilai keusahawanan yang sebenar.
Bermula dengan memperkenal dan membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar agar mereka tertarik dan seterusnya menanam impian untuk mencipta nama sebagai usahawan berjaya.
Peringkat seterusnya adalah dengan menerapkan nilai dan kemahiran seseorang usahawan. Ini penting agar setiap langkah yang mereka ambil selepas ini berpaksi kepada langkah usahawan sebenar.
Kita sering lihat bahawa ramai yang cuba untuk menjadi usahawan tapi usaha mereka cuma separuh jalan.
Kenapa perkara ini sering berlaku? Jawapan bagi persoalan ini adalah kerana kurangnya ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk ‘survive’ dalam dunia keusahawanan.
Bagi melengkapkan proses penciptaan usahawan ini, perlunya ada kesinambungan, iaitu pendedahan terhadap realiti sebenar dunia perniagaan atau keusahawanan.
Bakal usahawan perlu diletakkan di dalam ‘circle’ usahawan bagi membolehkan mereka belajar secara langsung dan merasai sendiri pengalaman sebenar dalam dunia perniagaan.
Menyedari kekangan mahasiswa dalam memahami realiti usahawan dalam perniagaan, MASMED UiTM Cawangan Sabah mengambil inisiatif proaktif dengan mengadakan jalinan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perinsdutrian Negeri Sabah melalui agensinya jabatan Pembangunan dan Penyelidikan Industri (DIDR) dengan mewujudkan program yang dikenali sebagai THE NOVICE.
THE NOVICE yang kini telah memasuki edisi kedua pelaksanaannya merupakan satu program yang melibatkan penyertaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan sebagai usahawan mentor kepada mahasiswa.
Usahawan mentor yang terpilih akan membimbing para mahasiswa ke arah menjadi usahawan sebenar di mana mereka dilatih dengan teknik pemasaran dan jualan secara langsung oleh usahawan mentor mereka.
Program yang memakan masa selama 2 bulan ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk menjana pendapatan sendiri.
Bagi benar-benar mencapai matlamat, para peserta turut mendapat bimbingan daripada para pensyarah yang bertindak sebagai penasihat mereka.
Pada edisi pertama, THE NOVICE berjaya menarik penyertaan lebih 100 mahasiswa dan 18 usahawan IKS dan dalam kalangan peserta, ada yang berjaya mencatatkan jualan ribuan ringgit bagi tempoh 2 bulan pelaksanaan program.
Melalui program ini juga, seramai 5 peserta telah dipilih untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui pemberian geran start-up perniagaan yang berjumlah RM3000 bagi setiap orang.
Geran yang diberikan sememangnya telah membantu mereka merealisasikan impian untuk bergelar usahawan.
Tambahan lagi, dengan mengambil peluang daripada pandemik COVID-19 yang memaksa mereka melakukan pembelajaran secara ODL, mereka berjaya bergelar usahawan dan dalam masa yang sama masih meneruskan pengajian.
Peluang menjana pendapatan ketika masih dalam pengajian telah membuka mata para mahasiswa lain bahawa status mahasiswa tidak menghalang mereka bergelar usahawan.
Ini selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan usahawan dalam kalangan graduan dan asas yang mereka telah ada ini mampu membantu mereka selepas tamat pengajian.
Program NOVICE menunjukkan bahawa selain daripada pendedahan tentang ilmu asas dan kemahiran dalam perniagaan, adalah sangat penting bagi bakal usahawan untuk berada di dalam kelompok, ataupun ‘circle’ usahawan supaya mereka dapat mempelajari secara langsung dan mengenali realiti dunia keusahawanan dan perniagaan.
Di samping itu, program ini menunjukkan bahawa pentingnya peranan kerajaan dalam mengangkat dan membantu usahawan muda, khususnya mereka yang baru menceburkan diri dalam dunia keusahawanan. - DagangNews.com
Ahmad Ghazali Ismail adalah Koordinator Keusahawanan di Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM Cawangan Sabah