Penting merancang kewangan peribadi sekarang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 25 Apr 2022 07:40 AM

PENTING MERANCANG KEWANGAN PERIBADI SEKARANG

Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yosoff

 

 

 

POLA kehidupan telah mengalami perubahan yang mendadak ekoran pandemik COVID-19 yang di luar kawalan dan jangkaan kita.

 

Kemelut kesihatan ini telah melumpuh kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan yang mengakibatkan semua aktiviti, terutamanya aktiviti ekonomi, terpaksa ditangguhkan.  

 

Kehidupan di era pandemik ternyata amat mencabar khususnya dari segi kewangan. Ramai yang hilang pekerjaan.

 

Demi kelangsungan hidup, terpaksalah mereka yang terkesan melakukan pelbagai jenis pekerjaan yang mampu dan tidak kurang pula yang terpaksa mengeluarkan wang simpanan sementara menunggu keadaan pulih sepenuhnya.

 

Beruntunglah bagi mereka yang melakukan penabungan yang boleh digunakan bagi tujuan kecemasan.

 

Malangnya sekira sebaliknya, terpaksalah golongan ini meminjam dari saudara mara dan sahabat handai, itu pun seandainya mereka ada lebihan tabungan dan sudi memberi pinjaman.

 

Tekanan hidup bagi puluhan ribu rakyat Malaysia sekali lagi meruncing dengan kejadian banjir besar yang di luar jangkaan di penghujung tahun 2021 yang sekali gus memberi kesan negatif kepada proses pemulihan ekonomi.

 

Kerugian harta benda isi rumah pastinya menambahkan lagi keperitan yang sedia ada.

 

 

banjir

 

 

Bukti

Rentetan peristiwa ini jelas membuktikan isu kewangan adalah sangat kritikal. Sebarang perancangan kewangan yang dibuat sudah tentu dapat membantu masyarakat berdepan dengan suasana cemas dengan jaringan keselamatan untuk bangkit semula dalam situasi yang mencabar ini.

 

Lantaran itu tidak dapat dinafikan lagi bahawa merancang kewangan peribadi tidak boleh dipandang ringan dan tidak wajar ditangguhkan lagi oleh semua peringkat masyarakat.

 

Beberapa kajian secara umumnya menunjukkan amalan pengurusan kewangan peribadi rakyat Malaysia berada pada tahap yang sangat rendah.

 

Antara faktor yang dikenal pasti sebagai penyebabnya adalah tidak ada kesedaran ekoran kurang pendedahan dan pendidikan yang diterima, sama ada secara formal atau informal.

 

Selain itu, pengetahuan tentang cara untuk merancang adalah sangat terhad menyebabkan perancangan dibuat secara ikut cita rasa dan tidak fokus.

 

Kekeliruan dengan berbagai istilah kewangan juga merupakan antara penyebab masyarakat tidak mengambil inisiatif untuk membuat perancangan yang teliti.

 

Kajian menyatakan peri pentingnya pendidikan kewangan yang bukan hanya membantu seseorang dalam pengurusan kewangan peribadinya tapi juga dapat mengelakkan seseorang dari menjadi mangsa aktiviti penipuan.

 

Secara umumnya, dapatan kajian merumuskan sekiranya perancangan kewangan yang efektif diamalkan secara meluas oleh rakyat sesebuah negara, sekaligus, masalah sosial yang berpunca dari kemiskinan dapat dielakkan dan pastinya pertumbuhan ekonomi negara tersebut akan terjamin.
 


 

masmed

 

 

Apakah perancangan kewangan peribadi?

Secara mudah ia dapat diertikan sebagai satu tindakan di mana seseorang individu merancang kewangannya dengan mengimbangi matlamat dan keperluan semasa juga keperluan masa depan.

 

Pendekatan ini mampu memberi perspektif yang jelas untuk seseorang menguruskan kewangannya. Kesannya, pendapatan akan dibelanjakan secara berhemah agar dapat memenuhi segala matlamat kehidupan seperti simpanan, pelaburan, insurans, pencukaian dan persaraan.                     

     

Mereka yang arif dalam bidang kewangan telah mengutarakan kaedah yang praktikal untuk seseorang menstrukturkan agihan pendapatannya.

 

Langkah-langkah yang boleh diambil dalam usaha memenuhi matlamat perancangan kewangan peribadi antaranya adalah:

 

  1. Mengenal pasti situasi kewangan berkaitan sumber pendapatan, perbelanjaan, hutang, simpanan dan pelaburan yang dilakukan. Tindakan menjejaki ini merupakan langkah awal bagi mengetahui agihan kewangan dari aspek perbelanjaan dan liabiliti semasa.

 

  1. Menyusun mengikut keutamaan matlamat kewangan yang ingin dipenuhi samada kecil ataupun besar. Setiap matlamat seeloknya berbentuk spesifik dan mampu dilaksanakan. Sesetengah matlamat kewangan memerlukan perhatian yang segera sementara ada juga yang bersifat jangka masa panjang. Rangka masa yang berbeza itu akan memberikan kesan ke atas keutamaan dan kepelbagaian strategi untuk seseorang mencapainya.


    Sebagai contoh, bagi seorang pelajar berkemungkinan mempunyai matlamat yang bersifat jangka masa pendek sahaja. Manakala bagi individu yang mempunyai keluarga pula lebih kepada jangka panjang seperti mempunyai sebuah rumah sendiri berbanding dengan rumah sewa, atau menambah tabungan untuk pendidikan anak-anak serta menyimpan untuk tujuan persaraan. Jelas di sini yang kehendak dan matlamat seseorang individu, sangat berkait rapat dengan tahap pendapatan, keperluan dan gaya hidup, serta peringkat usia. Justeru, perbelanjaan yang terancang dan dalam lingkungan kemampuan adalah sangat perlu untuk di kawal agar tidak tersasar.

 

  1. Merancang strategi yang cekap dan efektif perlu dibuat untuk mencapai matlamat pengurusan kewangan tersebut. Antara komponen penting yang perlu dititik beratkan adalah:  

 

  • Berdisiplin dalam membuat simpanan yang berterusan dan konsisten samada secara bulanan atau sebarang tempoh yang bersesuaian dengan pendapatan individu.

  • Melakukan pelaburan secara bijak dengan mempelbagaikan portfolio pelaburan bagi tujuan mendapat faedah dan keuntungan serta untuk mengembangkan punca pendapatan.

  • Membeli insurans yang relevan agar mendapat faedah perlindungan kesihatan dan pendidikan yang sewajarnya bagi ahli keluarga.

  • Menabung secara berkala untuk tujuan pembayaran cukai pendapatan. Perkara ini seandainya tidak diberi perhatian akan menimbulkan masalah kelewatan pembayaran. Ini pastinya akan menambahkan lagi beban kewangan apabila penalti dikenakan.

  • Merancang dana persaraan sebaik mungkin agar dapat menikmati kualiti kehidupan apabila bersara.

 

  1. Memantau pengurusan kewangan dengan tujuan untuk penambahbaikan perlu dibuat dari masa ke semasa.

    Seringkali wujud keperluan untuk menilai semula strategi seperti apabila matlamat kewangan yang dirancang tidak tercapai atau kedudukan semasa kewangan yang berubah.

     


 

masmed

 





Sebagai rumusan, perancangan kewangan peribadi melibatkan proses yang dinamik di mana ianya memerlukan komitmen yang tinggi serta berterusan.

 

Pengurusan wang secara bijak merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan penuh kesedaran dan kecekalan.

 

Setiap individu perlu menjadi celik kewangan bagi menentukan perbelanjaan yang berhemah, pengurusan hutang yang cekap serta mampu berdikari secara kewangan khususnya dalam mendepani situasi ketidaktentuan kehidupan. - DagangNews.com

 

Dr. Marziah Mokhtar merupakan Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Dengkil
Sabariah Yosoff merupakan Pensyarah Kanan (Jabatan Ekonomi & Kewangan), Fakulti Pengurusan & Perniagaan Universiti Teknologi MARA