Strategi Komunikasi Perniagaan melalui penceritaan digital | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 21 Mar 2022 09:29 AM

Strategi Komunikasi Perniagaan melalui penceritaan digital

Oleh Mohd Najmi Nuji

 

 

 

PENCERITAAN digital telah menjadi suatu fenomena dan pilihan usahawan bagi mencapai sasaran khalayak yang menjadi tunjang utama kepada hala tuju perniagaan.

 

Penceritaan atau ‘storytelling’ semakin menjadi pilihan ramai para usahawan dalam memperkukuh potensi keusahawanan, membina hubu­ngan pelanggan serta memperluas prospek pasaran.

 

Dalam kemajuan era digital kini, sesiapapun sebenarnya boleh mempraktikkan kaedah penceritaan kerana ia boleh dilakukan tanpa pengetahuan teknologi tinggi dan kos selain masa dan idea menulis.

 

Namun begitu, strategi komunikasi perniagaan melalui penceritaan digital ini memerlukan perancangan dan latihan yang konsisten serta kesabaran bagi memastikan strategi ini membuahkan hasil.

 

Komunikasi perniagaan dapat didefinisikan sebagai proses penyampaian dan penerimaan data atau maklumat yang diperlukan organisasi samada komunikasi dalaman ataupun luaran.

 

Pada era revolusi industri 4.0 masa kini, setiap perniagaan pasti meneroka pelbagai strategi yang boleh digunakan untuk memastikan produk yang dihasilkan dan ditawarkan kepada pengguna memenuhi kehendak dan boleh menarik perhatian pengguna untuk memiliki produk berkenaan.

 

Sehubungan itu, penggunaan platform media sosial dilihat sebagai suatu langkah yang tepat sebagai satu daripada strategi komunikasi perniagaan mendekati pengguna dengan melaksanakan aktiviti penceritaan digital berkaitan dengan kelebihan produk, kandungan pemasaran seterusnya berkomunikasi secara interaktif dengan pengguna.

 

Platform yang dikenali sebagai multi-sided platform boleh menggabungkan pelanggan, pembekal dan rakan kongsi dalam satu platform yang sama dan membentuk ekosistem yang baru.

 

Platform yang menggabungkan ketiga-tiga elemen penting ini pastinya menjadikan penceritaan digital yang paling unik, menarik perhatian serta boleh menyebabkan “viral” dalam media sosial akan menjadi tunjang utama kepada pengeluar produk untuk melakukannya.

 

Contohnya, ‘HEY, wassap guys’… siapa yang tidak kenal dengan individu yang menggunakan frasa tersebut dalam setiap ceritanya di platform media sosial?

 

Dengan menggunakan nama khairulaming di setiap media sosialnya iaitu Instagram mempunyai pengikut seramai 3.3 juta, Twitter 1 juta pengikut serta 218,000 pelanggan di Youtube telah menjadikan beliau sebagai seorang digital content creator dan juga pempengaruh yang banyak berkongsi tentang resipi makanan terutamanya pada bulan Ramadan yang akan kunjung tiba tidak lama lagi.

 

Bermula dengan hanya berkongsi resipi yang mudah cepat dan sedap sebagai salah satu penceritaan digital beliau kini bergelar usahawan kepada satu produk yang dikenali sebagai Sambal Nyet Berapi.

 

masmed

      

Produk ini mendapat sambutan yang luar biasa bagi penggemar sambal dan sentiasa menantikan resipi terkini yang dihasilkan oleh beliau dalam platform digital.

 

Oleh hal yang demikian, strategi komunikasi perniagaan melalui penceritaan digital ini dilihat memberi impak yang sangat positif dan luar biasa jika dilakukan dengan konsisten dan tepat.

 

Usahawan yang baru menceburi dalam apa jua bidang perniagaan sewajarnya membuka ruang dan peluang kepada diri mereka untuk mempelajari serta memahami penceritaan digital kerana kaedah ini bukan sahaja membantu mereka membina jenama produk atau perniagaan.

 

Malah, ia juga mampu mencetuskan suatu fenomena yang luar biasa di platform media sosial iaitu dengan kuasa viral serta warganet. - DagangNews.com

 

Mohd Najmi Nuji adalah Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MULANYA DI SINI