Malaysia Perlu Cari Sumber Pendapatan Baharu Hadapi Inflasi
TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2023 ini.
Pendapatan kerajaan dijangka berada pada paras 15% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023 ini yang merosot jika dibandingkan dengan tahun 2022 yang lalu iaitu 16.7%
Pertumbuhan KDNK negara diunjur sederhana antara 4% hingga 5% pada 2023 selaras dengan semakan semula pertumbuhan ekonomi global yang lebih rendah oleh Bank Dunia dan IMF.
Hutang kerajaan dan persekitaran global
Pada tahun 2022, hutang dan liabiliti kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80% daripada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nisbah khidmat hutang melebihi 15% daripada hasil.
Ketegangan geopolitik di Eropah Timur mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek terutamanya peningkatan inflasi global berikutan harga komoditi yang kekal tinggi turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.
Kuasa besar ekonomi – China yang mengalami pertumbuhan yang sederhana serta dasar monetari global yang lebih ketat merupakan antara risiko yang turut memberi kesan ke atas prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.
IMF saran cari sumber pendapatan baharu
Malaysia dilihat tersepit antara prospek kelembapan ekonomi dunia dan peningkatan hutang dan liabiliti kerajaan.
Baru-baru ini juga, IMF menyarankan agar Malaysia menerokai sumber pendapatan baharu bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara. Ini adalah berikutan pendapatan kerajaan yang menurun semenjak tahun 2012.
Menambah baik penggubalan dasar dan sistem percukaian
Bila bercerita pasal hasil kerajaan pastinya perihal cukailah yang menjadi antara hasil atau sumber utama kerajaan.
Kerajaan Perpaduan perlu melaksanakan pembaharuan sistem percukaian yang berani dan berkesan di samping menggubal dasar secara menyeluruh dan inklusif melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi memastikan penjanaan hasil yang mampan.
Rangka kerja perundangan cukai perlu sentiasa dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan peruntukan dalam undang-undang cukai dan garis panduan mengenai proses dan prosedur dipermudah, konsisten dan sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.
Sebagai contoh kini, ekonomi gig dan ekonomi digital yang baharu, kerajaan perlu memperluas skop cukai perkhidmatan merangkumi kandungan digital yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan. Selain itu semakan semula perundangan percukaian berkaitan insurans dan takaful serta industri perbankan juga boleh dilakukan.
Jika pembaharuan cukai “berjaya” dilakukan, ia akan membina semula ruang fiskal, meningkatkan daya tahan ekonomi dan akhirnya mengembalikan negara ke landasan konsolidasi fiskal yang baik.
Kesannya juga akan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk melaksanakan langkah kitaran balas bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pada masa yang sama memastikan kemapanan fiskal dalam tempoh jangka masa panjang.
Subsidi tersasar kurang beban kerajaan
Kerajaan Perpaduan juga sudah boleh memikirkan mekanisme terbaik dalam melaksanakan subsidi tersasar bagi mengurangkan beban kerajaan.
Cuba lakukan secara beransur-ansur, Ya pastikan banyak kelemahan pada peringkat awal pelaksanaannya, tetapi ia sesuatu yang perlu dilakukan bagi mengangkat tema Malaysia Madani, keadilan sosial.
Dengan subsidi tersasar ini, ianya dilihat berfungsi untuk “membantu” golongan yang berpendapatan rendah, B40 terutamanya.
Tadbir urus pengurusan hutang negara
Selain memikirkan sumber hasil kerajaan, kerajaan juga perlu memastikan tadbir urus hutang Kerajaan Persekutuan dengan “penuh berhemat”.
Pengurusan hutang negara adalah berasaskan perundangan utama iaitu Perlembagaan Persekutuan, Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] dan Akta khusus yang mengawal selia pembiayaan dan hutang.
Dari segi instrumen domestik, kertas hutang konvensional merangkumi MGS yang ditadbir di bawah Akta 637 dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) , instrumen pembiayaan Islam iaitu MGII dan MITB ditadbir di bawah Akta 275 dan pinjaman luar pesisir Kerajaan Persekutuan pula dikawal selia di bawah Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 [Akta 403].
Kesemua hutang ini diselia dengan disiplin fiskal bagi memastikan hutang negara tidak semakin mengikat.
Memperkukuhkan Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) negara
Kerajaan Perpaduan juga perlu mengukuhkan Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) negara bagi meneliti fiskal kerajaan secara menyeluruh dan terperinci. Selain itu FPC juga perlu merangka perkembangan ekonomi negara bagi jangka masa sederhana.
Buat masa kini, FPC dianggotai oleh:
- Perdana Menteri dan Menteri Kewangan - Dato’ Seri Anwar Ibrahim
- Timbalan Perdana Menteri - Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
- Timbalan Perdana Menteri - Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof
- Menteri Ekonomi - Mohd Rafizi Ramli
- Ketua Setiausaha Negara - Tan Sri Mohd Zuki Ali
- Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi - Dato’ Nor Azmie Diron
- Gabenor Bank Negara Malaysia - Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus
Terdahulu, FPC telah bersidang kali pertama bagi tahun 2023 ini dan membincangkan bagaimana untuk mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.
Belanjawan 2023: Malaysia Madani
Dalam jangka masa pendek, Belanjawan 2023 yang membawa konsep pembangunan Malaysia Madani yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini perlu memastikan terdapat langkah-langkah bagi kerajaan meningkatkan hasil dan sumber.
Belanjawan Malaysia Madani ini bukan dengan mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial sahaja tetapi perlu mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertubuhan ekonomi negara.
Dasar Fiskal yang berkesan dan responsif
Dasar fiskal kerajaan perlu berkesan dan responsif yang dapat mengimbangi antara keperluan pertumbuhan dengan kemampanan fiskal dalam mencapai kestabilan makro ekonomi dan kewangan awam yang kukuh.
Dalam keadaan ekonomi yang lembab dan tidak menentu ini, Dasar Fiskal perlu bertindak balas dengan perkembangan global dan merangka dasar yang bersesuaian untuk mendepani sebarang kejutan luar dan bertindak secara responsif bagi melindungi kesejahteraan rakyat.
Dasar Fiskal perlu lebih fleksibel dan beroperasi berdasarkan strategi cukai dan perbelanjaan yang berkesan bagi memacu hala tuju pembangunan ekonomi negara yang lebih mampan. – DagangNews.com
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor