Boikot bersifat emosi, tanpa perancangan rapi akan runtuhkan ekonomi orang Islam sendiri - IKIM | DagangNews Skip to main content

Boikot bersifat emosi, tanpa perancangan rapi akan runtuhkan ekonomi orang Islam sendiri - IKIM

Oleh Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

AKHIR-AKHIR ini timbul isu berkaitan status boikot ekoran dari tindakan sebahagian masyarakat memboikot syarikat kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) ekoran isu penjualan stoking yang tertulis kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka tersebut.

 

Sebelum itu, isu boikot juga hangat diperkatakan apabila berlaku gerakan  memboikot syarikat-syarikat yang menyokong Israel disebabkan kezaliman yang berlaku di Palestin.

 

 

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam Mohamed Adil
                   Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

 

 

Sahibus Samahah Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh memberikan pandangan bahawa boikot yang dijalankan khususnya terhadap syarikat KK Mart harus dihentikan dengan hujah bahawa ia berlawanan dengan keadilan Islam.

 

 

Beliau juga berpandangan bahawa boikot yang dilakukan adalah sesuatu yang tidak menepati Sunnah Baginda SAW dan boleh menjerumuskan dalam kezaliman.

 

IKIM berpandangan bahawa isu boikot harus dilihat berdasarkan kepada neraca keadilan dan juga melihat kepada aspek maslahah dan mafsadah secara mendalam.

 

Adakah tindakan yang kita lakukan itu adil dan benar, dan adakah tindakan kita itu mendatangkan kebaikan atau sebenarnya mengundang lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

 

Sememangnya tindakan memboikot menunjukkan kuasa pengguna yang sebenar terutama dalam menyampaikan mesej kepada syarikat-syarikat yang telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan umum.

 

Ia juga memberi isyarat penting kepada pengusaha di Malaysia bahawa mereka perlu jujur dalam perniagaan serta sentiasa mengekalkan kualiti produk serta perkhidmatan.

 

 

boikot

 

 

Namun persoalan penting yang harus ditanyakan sejauh mana keberkesanan boikot ini terutama melihat dalam konteks yang lebih luas termasuk kesan ke atas kemajuan ekonomi negara secara keseluruhan?

 

Kedua, adakah boikot yang dijalankan memberi keadilan sebenar kepada pelbagai pihak yang terlibat dan terkesan dengan tindakan tersebut?

 

Sebahagian pakar ekonomi berpandangan bahawa pendekatan boikot yang dijalankan lebih bersifat reaktif, sementara dan berasaskan emosi. Ia mungkin menghasilkan natijah yang sementara akan tetapi tidak efektif dalam jangka masa panjang dan tidak menyelesaikan masalah sebenar.  I

 

Impak boikot adalah minimum kepada ekonomi domestik kerana ia lebih bersasar kepada perniagaan tertentu. Yang pasti, impak boikot yang lebih ketara akan menyebabkan perniagaan yang disasarkan itu bukan sahaja mengalami penurunan jualan dan keuntungan malah berdepan dengan risiko rugi.

 

 

iktisad

 

 

Pada masa sama, kedudukan negara sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan terjejas teruk.

 

Langkah memboikot beberapa jenama yang berlaku boleh memberikan kesan kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

 

Ini kerana syarikat-syarikat besar ini merupakan antara pembayar cukai yang terbesar di Malaysia. Buat masa ini, pemegang saham terbesar bagi rangkaian McD, KFC dan Pizza Hut dimiliki oleh orang Islam. Dikhuatiri, boikot yang bersifat emosi dan tanpa perancangan rapi akan meruntuhkan ekonomi orang Islam sendiri.

 

Tindakan ini juga menjejaskan sektor pekerjaan terutama membabitkan tenaga kerja tempatan terutama pekerja yang bekerja dengan entiti perniagaan yang diboikot, akan turut menerima kesan seperti pemotongan gaji atau kehilangan pekerjaan.

 

 

wasiyyah

 

 

Antara cara alternatif yang dicadangkan ialah dengan mengambil alih syarikat-syarikat yang didakwa menyokong Israel atau membeli saham-saham utama syarikat-syarikat berkenaan.

 

Ini akan memberi lebih kebaikan dalam jangka masa panjang terutama kepada aspek sosio-ekonomi di Malaysia. Keuntungan yang didapati dapat akhirnya disalurkan kepada perkara-perkara yang lebih menguntungkan Malaysia dan dalam masa yang sama juga melaksanakan misi membantu Palestin yang menjadi matlamat utama pemboikotan.

 

IKIM merasakan bahawa isu boikot ini harus diteliti secara mendalam.

 

Di samping menjalankan penyelidikan berkaitan isu boikot ini, IKIM akan menganjurkan dalam masa terdekat perbincangan meja bulat yang menghimpunkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang agar penyelesaian terbaik dapat dicari berkaitan dengan isu ini. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia