10 juta lagi saham FGV milik Felda | DagangNews Skip to main content

10 juta lagi saham FGV milik Felda

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Ibarat 'sakan' membeli-belah, Felda terus mengambil alih unit saham FGV Holdings Berhad (FGV) selama dua hari berturut-turut. 

 

Hari ini, sebanyak 10 juta lagi unit saham FGV dibeli Felda pada kadar RM1.30 sesaham menerusi pasaran terbuka.

 

Urus niaga itu melibatkan jumlah pelaburan RM13 juta. 

 

Perkara itu dimaklumkan FGV di Bursa Malaysia sebentar tadi. 

 

Hasrat Felda untuk mengambil alih FGV dan menerajuinya dengan strategi tersendiri semakin hampir. 

 

Semalam, Felda membeli 41 juta unit saham FGV  menerusi pasaran terbuka selepas 'memborong' lebih 27 juta unit pada minggu lalu.

 

Unit itu dibeli pada nilai RM1.30 sesaham sekali gus menyaksikan jumlah pembelian mencecah RM53.3 juta. 

 

Ini menjadikan pegangan saham Felda dalam FGV yang diperoleh menerusi pasaran terbuka menokok kepada 78.15 juta dengan jumlah pembelian keseluruhan mencecah sekitar RM101.32 juta. 

 

Pada 8 Disember 2020, Felda menyatakan hasrat untuk mengambil alih sebanyak 506,190,800 atau 13.88% ekuiti FGV dengan nilai sebanyak RM658 juta.

 

Baca : Felda hampir memiliki FGV?

 

Agensi itu bercadang untuk meningkatkan pegangannya dengan membeli keseluruhan kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 6.1% dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., 7.78%. 

 

Bagaimanapun, Felda menyatakan tiada perancangan untuk meneruskan status penyenaraian FGV di Bursa Malaysia. 

 

Tawaran tunai RM1.30 sesaham oleh Felda akan dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang, menjelang 2 Februari 2021. 

 

Pengambilalihan ini tercetus selepas Felda mahu mengambil semula tanah yang dipajakkan kepada FGV seluas 350,000 hektar, termasuk kesemua kilang sawit.

 

Setakat sesi dagangan pertama, nilai saham FGV susut RM0.01 kepada RM1.29 daripada paras yang ditutup semalam, RM1.30. - DagangNews.com