1,000 pemandu Grab disasar jadi duta pelancongan Sarawak | DagangNews Skip to main content

1,000 pemandu Grab disasar jadi duta pelancongan Sarawak

Program Duta Sarawak e-pembelajaran untuk Pemandu e-hailing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama Grab Malaysia (Grab) melancarkan Program Duta Sarawak e-pembelajaran untuk Pemandu e-hailing yang mensasarkan 1,000 pemandu Grab untuk diangkat sebagai Duta Pelancongan Sarawak.

Program tersebut dilancarkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama Grab Malaysia (Grab).

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang menyediakan modul kesedaran pelancongan untuk pemandu e-hailing bersama Grab Academy.

"Sangat tepat pada masanya bagi STB untuk mengambil pendekatan unik ini untuk berkolaborasi dengan Grab Malaysia bagi menyediakan modul produk pelancongan di platform Grab Academy.

"Pemandu biasanya menjadi individu pertama yang menyambut ketibaan pelancong. Oleh itu, sangat penting mereka mempunyai pengetahuan yang baik mengenai laluan, tarikan dan destinasi utama di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu dikhususkan kepada pemandu e-hailing yang bertujuan untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan tambahan mengenai pelancongan Sarawak sekali gus membolehkan mereka menjadi duta negeri berkenaan.

 

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Hii Chang Kee; Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak yang mewakili Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengurus Operasi Wilayah GRAB Malaysia, Joyce Rebecca Lee.
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Hii Chang Kee; Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak yang mewakili Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengurus Operasi Wilayah GRAB Malaysia, Joyce Rebecca Lee.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dan STB untuk memperkukuh landasan bagi 'menghadapi ribut' dan melengkapkan diri setelah badai berlalu.

"Oleh itu kami memperluas konsep duta dalam kalangan pemandu Grab dengan harapan dapat memperkaya pengetahuan mereka tentang Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan seterusnya menjadi duta Sarawak kepada pelanggan mereka.

"STB akan terus memberi penekanan yang kuat kepada peningkatan pengalaman pengunjung sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan," jelasnya lagi.

Melalui program tersebut, Grab Malaysia akan mendapatkan maklumat daripada pangkalan data sekitar 4,000 hingga 5,000 pemandu e-hailing yang berpusat di Kuching, Sibu , Bintulu dan Miri untuk penyertaan dalam latihan e-pembelajaran berkenaan.

Modul e-pembelajaran akan diselia oleh Akademi Hospitaliti dan Pelancongan Saujana Sdn. Bhd atau Kolej SATT yang merangkumi wilayah Selatan, Tengah dan Utara Sarawak. - DagangNews.com