12 fakta yang perlu dinilai mengenai isu Azam Baki | DagangNews Skip to main content

12 fakta yang perlu dinilai mengenai isu Azam Baki

 

KUALA LUMPUR 15 Jan - Isu saham berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjadi viral dan trending dalam media sosial kebelakangan ini. Kritikan yang diberikan terlalu melampau seolah-olah suatu perbicaraan terbuka berlangsung tanpa keadilan yang sewajarnya.

 

Seorang penganalisis, Prof. Khoo Chye Li berkata, masyarakat harus bersikap terbuka dan berlaku adil kepada pihak yang ditohmah.

 

Seharusnya ujar beliau, agensi yang mempunyai kuasa untuk menyiasat seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menjalankan siasatan dan mendedahkan apa juga butiran hasil siasatan. 

 

Lebih lama berdiam, maka lebih banyak kerosakan atas imej, kredibiliti organisasi seperti SPRM.

 

Beliau berkata, pihak seperti Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak wajar lagi mengeluarkan kenyataan hanya untuk mempertahankan kredibiliti kendiri. 

 

"Berdasarkan Akta SPRM 2009, mereka ini langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menyiasat. Semakin banyak kenyataan dikeluarkan maka semakin menampakkan motif dan niat songsang mereka," katanya.

 

Berbalik kepada konteks isu saham ketua pesuruhjaya SPRM, Chye Li berkata, masyarakat perlu sedar beberapa fakta penting berlandaskan undang-undang: 

 

 

SPRM

 

 

1. Pemilikan dan pelupusan saham berlaku dalam tahun 2015 dan 2016. Beliau ketika itu, bukan Ketua Pesuruhjaya SPRM, melainkan jika pemilikan saham tersebut dibuat dalam tahun 2020 dan 2021.

 

2. Seksyen 29A akta SCDA jelas menyebut bahawa sesuatu akaun trading saham boleh dibenarkan kepada pemilik benefisial dan authorized nominee (individu lain yang dibenarkan). Dalam konteks Tan Sri Azam, beliau telah memberikan kebenaran kepada adik beliau Nasir Baki untuk menggunakan akaun trading ini," katanya.

 

3.Azam secara sukarela melaporkan pembelian dan pelupusan saham ini kepada Ketua Jabatan beliau ketika itu. Tiada timbul isu beliau tidak melapor kepada ketua jabatan.

 

4. Jumlah saham jika dilihat mencapai jutaan unit pada 2015 dan 2016. Namun pembelian saham-saham ini bukan dibuat sekaligus tetapi diperolehi dalam empat kali pembelian.

 

5. Kita harus melihat nilai atau harga setiap unit saham. Bukannya jumlah unit saham. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Menteri di JPM, nilai saham tersebut hanya bernilai 30 sen dan jumlah keseluruhan tidak melebihi RM700,000 pada masa berkenaan.

 

6. Kesemua pembelian saham dibuat secara pasaran terbuka (open market). Semua orang mempunyai hak membeli saham-saham secara open market.

 

7. Dua syarikat terbabit KBES atau kini GETs Global dan Eforce tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan siasatan atau apa-apa tindakan oleh SPRM," katanya. 

 

8. Pembelian dan pelupusan saham-saham tersebut tidak mendatangkan keuntungan malahan rugi antara RM60,000 ke RM100,000. Jadi, jika tuduhan liar mengatakan ia “insider trading” maka ia tidak benar. 

 

9. Isu kelewatan Azam menjawab tohmahan-tohmahan ini. Isu ini adalah bersifat peribadi, tidak bersifat jenayah dan ditulis oleh seorang penulis yang menggelarkan diri sebagai “wartawan” yang menjalankan “investigative reporting”. 

 

10. Azam tidak berdiam diri. Sebaliknya telah dipanggil memberikan penjelasan oleh LPPR / Jawatankuasa Aduan / JKMR. Inilah protokol yang beliau wajib patuhi. Malah Menteri di JPM dan Ketua Setiausaha Negara sendiri telah ditemui dan diberikan penjelasan kepada Azam.


 

SPRM

 


 

"Kehadiran Azam dalam sidang media pertama LPPR telah membuktikan bahawa beliau berani berhadapan dan tampil menjelaskan kepada masyarakat. 

 

"Saman sivil terhadap penulis membuktikan bahawa Azam di pihak yang benar. Adalah menjadi hak beliau mempertahankan imej dan reputasi mengikut saluran undang-undang. 

 

"Jika beliau bersalah dan tidak mempunyai fakta-fakta kukuh maka sudah tentu tidak akan berani menyaman dan membawa kes sivil ini ke mahkamah," katanya.

 

Beliau berkata, undang-undang tidak menyekat ahli keluarga untuk menjalankan apa-apa perniagaan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mengapa sudah 7 tahun baru nak dipersoalkan?

 

Perlu ditekankan bahawa kejadian ini berlaku dalam tahun 2015 /2016 dan Azam bukan ketua pesuruhjaya. 

 

Ahli keluarganya telah menjalankan perniagaan sejak tahun 2009 lagi. Kenapa perlu dikaitkan Azam dengan aktiviti perniagaan ahli keluarga beliau seolah-olah ia berlaku pada masa sekarang?

 

"Fakta di atas perlu direnungi dengan hati dan fikiran terbuka. Mempolitikkan isu saham ini oleh ahli politik pembangkang memang diduga. Masyarakat harus bijak menilai dan membezakan yang mana fakta atau mainan politik," katanya. - DagangNews.com