12 gosip yang anda mungkin hairan setakat 20 Ogos 2021 | DagangNews Skip to main content

12 gosip yang anda mungkin hairan setakat 20 Ogos 2021

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

SELESAILAH sudah episod politik memeningkan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan. Tahniah!  

 

Nanti sekejap, tarik balik perkataan `memeningkan’. Takkan habis pening. Sebab semua faham, Ismail Sabri adalah PM yang bakal mengisytiharkan pilihan raya umum ke-15 dalam tempoh 12 bulan hingga 17 bulan dari sekarang.

 

Cuma berbicara hal yang masih pening ialah detik-detik yang memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur kerana ada beberapa persoalan masih bermain di fikiran. Ini termasuk soal jajaran baru dan kerajaan perpaduan terutamanya.

 

Seminggu ini, Merrepak berkesempatan berbual dengan beberapa individu yang berada dalam kedudukan mengetahui, sekurang-kurangnya itu yang mereka beritahu sebab tidak mahu mengaku memang terlibat secara langsung pun.

 

Berikut Merrepak perturunkan mengikut urutan. Ada disclaimer : sahih atau tidak adalah menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk periksa sebagai manusia berakal. Ini hanya `gosip politik’ kerana pernyataan daripada individu-individu berkenaan pun tidak ada Akuan Bersumpah. Jadi kita sekadar Merrepak :

 

  1. Datuk Seri Anwar Ibrahim

Untuk kesekian kalinya, Anwar gagal mengotakan perisytiharannya bahawa beliau memiliki `nombor secukupnya’. Kalau betul, tentunya bukan Ismail Sabri di Istana Negara, semalam.


 

anwar
Akhbar South China Morning Post bertarikh 17 Ogos 2021.

 

 

  1. Gembar-gembur ada majoriti

Pada satu ketika, bertebaran cerita menerusi platform media yang menyebelahi Anwar mendakwa dia ada sokongan 105 Ahli Parlimen. Sebaliknya, beliau hanya ada 92 iaitu PKR, DAP dan Amanah.

 

  1.  Mana pergi Pejuang dan Warisan serta Muda?

Berkecuali. Pejuang ada empat, Warisan lapan dan Muda 1. Jadi betullah ada 105 tetapi 13 wakil 3 parti di atas `tanak join’. Tinggallah 92.

 

  1. Mengapa Warisan berkecuali?

Cerita mengatakan Datuk Seri Shafie Apdal diuar-uar sebagai calon Perdana Menteri, bukan permainan cybertrooper. Tetapi memang `diletakkan atas meja’ untuk dipersembahkan kepada Istana Negara. Tetapi Shafie patut tahu, ada orang itu sudah lama berhajat tentunya tidak sesekali melepaskan peluang pada Rabu lalu. Merasakan diri dipermainkan, Warisan mengambil kedudukan `berkecuali’. Lapan MP itu bukan kecil.

 

  1. Kenapa GPS terkait pula?

Cuma sekarang ada naratif hendak `menyalahkan’ Gabungan Parti Sarawak, kononnya melepas peluang ada wakil Borneo jadi PM, agak kelakar. GPS nampak ada Anwar, DAP dalam rombongan merisik Warisan, awal-awal sudah tutup telefon.
 

  1. Apa mendorong Muhyiddin tawarkan Kerajaan Perpaduan?

Tawaran ini datang dari DAP. Sekurang-kurangnya 6 kali mesyuarat diadakan antara wakil DAP dan Kementerian Kewangan. Dengan berlapang dada, Muhyiddin mengumumkannya dalam perutusan siaran langsung di televisyen nasional.

merrepak


 

  1. `Ditolak oleh PH’ tetapi kenapa Ong Kian Ming, Tony Pua bunyi lain?

Pantas sekilas reaksi PH menolak mentah-mentah tawaran Muhyiddin, malah melabelnya sebagai `cubaan menyogok secara terang-terangan’. Tetapi orang mula hairan bila Ong dan Pua pula mengeluarkan pernyataan berbeza. Beza sebab tak menutup sama sekali idea Muhyiddin.

 

 

merrepak

 

 

 

  1. `Checkmate’ terhadap Muhyiddin

Bila ditolak mentah-mentah, Muhyiddin berada dalam kedudukan tidak boleh diselamatkan lagi. Tetapi timbul pula cerita hendak diadakan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) menyerupai kerajaan Perak, di mana UMNO mendapat sokongan DAP untuk menyingkirkan Menteri Besar Bersatu.

 

  1. Siapa checkmate siapa?

Pada saat dan ketika itu, apa yang diharapkan ialah perpecahan di dalam UMNO antara yang kekal di dalam PN dengan yang bersama Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghasilkan perpecahan berkekalan. Tidak ramai yang menyangka UMNO boleh bertaut kembali, memberi sokongan padu kepada Ismail Sabri sebagai calon PM.

 

  1. Sokongan puak Presiden terhadap Ismail Sabri

Khabarnya, sokongan puak Presiden hanya disahkan di saat-saat akhir sebelum deadline 4 petang 18 Ogos lalu. Memang tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang presiden UMNO tidak menjadi PM. Memang berat. Tetapi semua pihak mencapai keinsafan tinggi.

Sekaligus, ia membantutkan harapan PH yang mahu perpecahan UMNO berkekalan untuk membolehkan Anwar menjadi calon yang lebih sedikit bilangannya ketika itu.

 

  1. PH kalah dua kali dalam sepenggal

Sepanjang pentadbiran Muhyiddin, naratif yang diguna oleh PH ialah kerajaan ikut bumbung, tidak sah. Kita cuba faham bahawa sakit hati terhadap Muhyiddin sebab beliau asalnya `one of them’ di dalam PH. Tetapi tiada seorang pun hendak mendengar apa punca sebenar Muhyiddin meleraikan dirinya dan parti daripada PH.

 

  1. Ismail Sabri diperkenan Agong

Semua pihak tahu bahawa Ismail Sabri direstui Agong, dengan mandat besar supaya menumpukan perhatian untuk tangani COVID-19, dan mengurangkan krisis politik. Kita harap tidak timbul lagi masalah sama bila UMNO sendiri berpecah yang menjadi punca tumbangnya pentadbiran Muhyiddin.  

 

 

merrepak

 

 

Dan berakhirnya mitos siapa ada nombor itu ini. Tunggulah PRU15. Kalau gagal juga jadi PM nanti, elok bersara dan beri orang lain jadi calon PM.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu NOMBOR oleh SEARCH berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.