1,200 murid di Melaka ceria dapat bantuan sekolah TNB | DagangNews Skip to main content

1,200 murid di Melaka ceria dapat bantuan sekolah TNB

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) menyerahkan sumbangan Ceria Ke Sekolah TNB 2021 peringkat negeri Melaka kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Sulaiman Md Ali (dua, kanan) pada 5 April lalu. Turut kelihatan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (kanan) dan Ketua Retail Negeri Melaka, Ir. Khairizam Ibrahim (kiri).

 


 


KUALA LUMPUR 8 April  - Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menyampaikan sumbangan bernilai RM120,000 kepada 1,200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan (B40) melibatkan beberapa buah sekolah rendah di Melaka menerusi program Ceria Ke Sekolah 2021 pada 5 April lalu.

 

Peruntukan bagi pembelian kelengkapan asas persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan alat tulis itu disampaikan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

 

Dalam kenyataan, Mahdzir berkata, bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan tekanan keluarga yang kurang berkemampuan untuk melakukan persediaan anak-anak mereka ke sekolah, terutama berikutan kesan pandemik COVID-19.

 

“Sekurang-kurangnya, pelajar-pelajar yang dibantu dapat berasa gembira merasai kelengkapan sekolah serba baru untuk sesi persekolahan yang telah bermula sejak Mac lalu, tanpa membebankan ibu bapa mereka,” katanya.

 

Program Ceria Ke Sekolah adalah inisiatif Tanggungjawab Korporat TNB dalam bidang pendidikan yang bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak mereka.

 

Sejak pelaksanaannya pada 2013, program Ceria Ke Sekolah telah membantu seramai 36,018 keluarga dengan jumlah sumbangan RM7.5 juta di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

 

Pada tahun ini pula, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi membantu hampir 30,000 murid daripada keluarga berpendapatan isi rumah terendah (B40) di 208 kawasan terpilih.

 

Daripada jumlah itu, setakat ini sebanyak RM2.5 juta disalurkan kepada lebih 25,000 pelajar di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Pahang, Perak dan Terengganu. 

 

TNB akan meneruskan program ini ke negeri-negeri lain pada masa akan datang. - DagangNews.com