Skip to main content

13 September: Hari penghargaan kepada Pengaturcara Komputer

SEMPENA HARI PENGATURCARA PADA 13 SEPTEMBER 2022
oleh AHMAD WIRAPUTRA SELAMAT, PhD

HARI Pengaturcara (programmer) sedunia pada tahun ini diraikan pada 13 September bersamaan dengan hari ke-256, angka yang merupakan hasil bagi dua kuasa lapan, bilangan bit bagi satu byte yang sangat berkait rapat dengan kerja seorang pengaturcara.

 

Tiada siapa dapat menafikan komputer ialah kejayaan ciptaan terbesar dalam sejarah manusia. Pengaturcara sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta berhak untuk diraikan dan dihargai atas jasa dan pengorbanan membangunkan pelbagai aplikasi untuk kemudahan masyarakat sejagat.

 

Selain jurutera yang menghasilkan perkakasan, berdiri sebaris dengannya pengaturcara yang menulis perisian, nyawa bagi sebuah peranti canggih tersebut.

 

Sering digelar “nerd”, tidak banyak bercakap, hanya menghadap komputer hampir 18 jam sehari dan pelbagai lagi gelaran sinikal, pengaturcara memainkan peranan yang sangat besar dalam memacu negara ke era pendigitalan penuh mencabar.

 

Terdiri sebagai golongan barisan hadapan, pengaturcara adalah antara “wira tidak didendang” pada saat pandemik COVID-19 demi memastikan perniagaan, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan komunikasi sesama manusia kekal berfungsi.

 

Mengikut sejarahnya, pengaturcara pertama di dunia adalah seorang ahli matematik bernama Ada Lovelace yang mencipta prototaip enjin analitikal bagi pengiraan Matematik. Komputer pertama hanya dicipta hampir 100 tahun selepas itu yang diberi nama ABC pada tahun 1942.

 

Ada Lovelace
Daguerreotype oleh Antoine Claudet (c. 1843). Satu daripada dua gambar Ada Lovelace yang diketahui wujud.

 

 

Bertitik tolak dari itulah bidang pengaturcaraan menjadi semakin berkembang selaras dengan kemunculan teknologi dan komputer baharu seperti UNIVAC, ENIAC, Apple, Microsoft sampailah ke era gajet dan telefon pintar pada masa kini.

 

Pengaturcara secara umumnya membangunkan segala perisian yang kita gunakan samada sistem pengoperasian, pelayar web, aplikasi telekomunikasi, antivirus, permainan komputer, aplikasi media sosial dan sistem-sistem yang biasa kita gunakan di jabatan kerajaan.

 

Di Malaysia, peranan mereka pastinya sangat besar dalam melaksanakan inisiatif Kerajaan seperti MyDigital dan Dasar 4IR bagi menuju sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

 

Jika anda masih sangsi tentang peranan besar seorang pengaturcara, bayangkan dunia tanpa Windows, Google, E-mail, Facebook, Tiktok, Waze mahupun laman e-Filing LHDN atau MySejahtera. Jika anda tidak mampu bayangkan, bermakna insan-insan ini telah melaksanakan sesuatu yang betul dan signifikan.

 

Mereka boleh diibaratkan sebagai penghubung antara manusia dan komputer.

Komputer bekerja melalui kod-kod arahan, dan tugas pengaturcara adalah menulis kod-kod arahan ini bagi membolehkan ia boleh difahami sebuah mesin.

 

Pekerjaan ini tidak mudah kerana pengaturcara perlu mempunyai kemahiran berfikir secara logik seperti sebuah mesin, selain mampu menganalisis masalah dengan tabah dan kreatif.

 

Dengan kata lain, mereka perlu sentiasa “memerah otak” bagi memastikan keperluan pengguna dipenuhi walaupun adakalanya hampir mustahil atau tak masuk akal.

 

 

parafrasa

 

 

Pengguna boleh merancang dan memasang impian tentang apa sahaja seperti mengaplikasikan robot dalam pejabat, kereta automatik tanpa pemandu, penjejakan melalui teknologi neutral atau data raya masa nyata.

 

Namun ia hanya akan menjadi realiti melalui analisis, reka bentuk, pengujian dan pastinya pembangunan kod atur cara yang dilaksanakan oleh seorang pengaturcara.

 

Tidak cukup dengan fungsi asas sahaja, faktor-faktor lain seperti kelajuan aplikasi, reka bentuk, ciri-ciri mesra-pengguna dan keselamatan turut perlu dipertimbangkan oleh seorang pengaturcara.

 

Tugas mereka juga tidak terhenti hanya apabila sesebuah projek berakhir, lantaran keperluan organisasi akan sentiasa berubah mengikut kehendak pengguna dan teknologi.

 

Contohnya sebuah laman web e-Pembelajaran pada tahun 2000 mungkin hanya mengandungi ciri-ciri asas seperti nota dan forum, tetapi kini ia memerlukan fungsi-fungsi yang lebih interaktif seperti persidangan web, (kotak sembang) chatbot, video pembelajaran selain ciri-ciri sebuah media sosial seperti butang share (kongsi), tag (paut) dan like (suka).

 

Sehingga tahun 2021, terdapat 26 orang juta pengaturcara di seluruh dunia dan angka ini terus meningkat selaras dengan kebergantungan mendadak ke atas teknologi IR4.0 serta aplikasi digital.

 

Tidak hairan jika laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2016 menjangkakan 60% dari murid-murid sekolah rendah pada hari ini akan mendapat pekerjaan yang belum pernah mereka dengar atau mungkin belum wujud. Ianya merujuk kepada pekerjaan berasaskan maklumat termasuk kecerdikan buatan (AI), machine learning, deep learning dan sebagainya.

 

 

parafrasa

 

 

Hal ini adalah sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama dalam sektor pendidikan bagi memastikan negara kita tidak ketinggalan dalam persaingan dan perlumbaan teknologi.

 

Pasca COVID-19 menyaksikan kebergantungan kepada aplikasi digital kian meningkat selaras dengan saranan kerajaan dan survival ekonomi itu sendiri. MDEC melaporkan antara tahun 2020 ke 2021, terdapat 75% kekosongan jawatan dalam sektor IT terutama melibatkan pembangun perisian, saintis data dan pakar e-dagang.

 

Ini menunjukkan nilai pasaran ke atas bidang ini terus meningkat di sebalik kepakaran dan sumber manusia yang terhad.

 

Tambahan lagi, cabaran pelaksanaan IR4.0 menuntut seorang pengaturcara keluar dari kerangka pemikiran lama yang mungkin mereka pelajari 10 atau 20 tahun dahulu di universiti.

 

Pendekatan dalam pembangunan perisian pada masa kini jauh berbeza kerana pelanggan mahukan perkhidmatan yang lebih pantas dan efisien, sesuai dengan jangkaan mereka terhadap kecanggihan teknologi masa kini.

 

Pendekatan dalam pembangunan sistem perlu berubah kepada lebih berfokuskan pengguna selain mengadaptasi konsep-konsep baharu yang lebih fleksibel seperti Agile dan DevOps.

 

 

parafrasa

 

 

Ringkasnya dalam dunia moden yang sarat dengan teknologi, hampir tiada sesiapa yang tidak mendapat manfaat daripada kerja tangan seorang pengaturcara.

 

Ironisnya apabila suatu aplikasi atau teknologi baharu muncul, kita hanya melihat kepada syarikat atau organisasi yang membiayanya, tetapi amat jarang menghargai tangan-tangan pengaturcara yang relialitinya bertungkus lumus menjadikan perancangan atas kertas menjadi sesuatu yang boleh diaplikasikan sepenuhnya oleh pengguna. - DagangNews.com

 

AHMAD WIRAPUTRA BIN SELAMAT, PhD adalah seorang Pegawai Teknologi Maklumat Kanan yang juga pengaturcara di Universiti Pendidikan Sultan Idris