Skip to main content

​​​​​​​16 hal `Jajaran Baru’ yang anda kena tahu, atau buat-buat tak tau

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

BAGI anda yang apolitical, tidak minat politik – mahu tidak mahu anda mungkin terbaca di sana sini istilah `Jajaran Baru’ yang semakin kerap dikumandangkan sekarang.

 

Hendak buat-buat tidak nampak, boleh sahaja. Tetapi jangan buat-buat tidak peduli sama sekali. Ini adalah konsep politik yang giat disuakan oleh political warlords negara sekarang ini.

 

Ringkasnya `jajaran baru’ mengandungi ikatan parti yang asal kewujudannya adalah dengan matlamat bermusuhan antara satu sama lain, terdiri daripada UMNO, PKR dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional hari ini.

 

Senang hendak ingat, bukan? Merrepak tidak akan merumitkan sangat penceritaan hari ini. Tahu daya fokus anda sudah menurun 50%. Jadi saya cuba pertahankan di paras 47% supaya anda membaca sampai habis.

 

Berikut adalah 16 fakta mudah mengenai `Jajaran Baru’:

  1. Gagasan `Jajaran Baru’ dikatakan terbentuk pada Ogos 2020. Mereka yang dibelakang idea ini mungkin sudah merancangnya lebih awal, sekurang-kurangnya selepas Pakatan Harapan tumbang pada Mac 2020.

     

  2. `Jajaran Baru’ akan terdiri daripada UMNO, PKR dan DAP. Soal mereka boleh serasi, kita bincang di bawah. Ini kita sebut siapa mereka dahulu.

     

  3. Semasa mula-mula terdedah konsep `Jajaran Baru’, bertebaran dakyah mendakwa ia dilakukan oleh Bersatu yang menjalin perjanjian dengan DAP. Masa berlalu, menunjukkan penyokong parti lain yang menulis dengan kerap dan nyata di dalam Facebook masing-masing sekarang, termasuk yang senyap sejak 2018.

     

  4. Mastermind Jajaran Baru yang disebut ramai pihak adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

     

  5. Pendokong idea Jajaran Baru di dalam UMNO, pun dikata ramai pihak ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan pengikut setia Anwar di dalam UMNO sehingga September 1998 bila Anwar dipecat oleh Tun Mahathir Mohamad.

     

  6. Anwar tidak pernah mengaku sebagai `Mastermind’. Tetapi ingatkah siapa menjadi `penasihat’ kepada sebilangan pemimpin PAS dahulu, yang akhirnya menyaksikan tertubuhnya Parti Amanah? Sekarang ada yang bertanya apakah formula serupa dilakukan ke atas UMNO?

     merrepak

     

  7. Gandingan Anwar-Zahid ini `terdedah' bila rakaman rahsia perbualan mereka berdua disebarkan, menimbulkan teka-teki apa benda yang diikrar semasa Perhimpunan Agung UMNO bahawa `No Anwar, No DAP’ itu masih dipegang sehingga sekarang?

     

  8. Bagaimana DAP? Terdapat gambaran parti ini pun terbelah dua iaitu yang menyokong Anwar, dan yang tidak senang dengan Anwar.  Yang menyokong Anwar terdiri daripada bos-bos besar iaitu anak beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

     

  9. Motif sebenar DAP mungkin tidak sama alunan lagu Anwar, sebab mereka tahu dalam apa keadaan sekali pun tiada wakil DAP boleh menjadi perdana menteri. Tetapi jadi menteri kewangan macam zaman PH pun dikira sudah cukup berkuasa. Jadi tidak ada masalah jadikan Anwar jadi PM, asalkan MOF dapat balik.

     

  10. Dimana kedudukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal ini? Dalam keadaan berdepan kes mahkamah, `the next logical thing’ ialah menjalin persahabatan dengan Zahid sebagai presiden parti.

     parlimen
     

  11. Bagaimana kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin? Ramai percaya beliau akan meletak jawatan pada 3 Ogos lalu disebabkan pergeseran dengan Agong dalam soal teknikal proklamasi darurat. Tetapi tiada siapa menduga beliau akan mengadakan usul percaya di Parlimen – satu langkah berani dan menyebabkan lawan politiknya terkedu sebentar.

     

  12. Kelebihan Muhyiddin sekarang ini ialah kewujudan tiga per empat Ahli Parlimen UMNO yang kekal bersamanya di dalam kerajaan PN. Keadaan memang sulit bagi beliau mempertahankan kedudukannya, tetapi bukan sesuatu yang mustahil pada sesi undian percaya di Parlimen pada 7 September ini.

     

  13. Selain itu, sokongan padu Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada PN adalah cukup instrumental bagi parti-parti lain untuk bertahan, atau paling tidak, mengamalkan `seni tunggu dan lihat’.

     

  14. GPS bakal mengharungi pilihan raya negeri, sejurus dibenarkan tidak lama lagi. Musuh abadi GPS adalah DAP. Maka itu, cadangan `Jajaran Baru’ yang mengandungi DAP, adalah ditolak sama sekali.

     

  15. Dilihat pada kaca mata sekarang, negara memiliki tiga komponen perwakilan di Dewan Rakyat iaitu pihak kerajaan, pembangkang dan pihak yang menentang kerajaan, tetapi tidak juga mahu duduk sama dengan pembangkang.

     

  16. Perang saraf tentera kedua-dua belah sedang memuncak sekarang. Menggunakan slogan #KerajaanGagal dan #Derhaka dalam usaha menyakinkan rakyat jelata. Terkini, proses penawaran lompat parti pula.

    Kalau anda ada cara untuk meneliti secara saintifik apa tersirat tersurat di sebalik propaganda politik sekarang ini, eloklah kongsikan bersama. Rakyat hendak tahu juga cerita yang tidak menyebelah sesiapa tetapi perkara benar.

 

Jadi, kita golongan marhaen ini berdiri di mana pula? Saya saran kita yang tidak jadi ahli mana-mana parti ini, tunggu sahajalah pilihan raya umum dan kita undilah mana-mana yang rasa sesuai di hati masing-masing.

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Wajah Rahsia Hati - Ogy Ahmad Daud (OST Ali Setan) berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.

 

BACA JUGA : Kegilaan apakah berebut kuasa ketika rakyat mati akibat COVID-19?