17 bas dijadikan PPV bergerak, percepat vaksinasi luar bandar | DagangNews Skip to main content

17 bas dijadikan PPV bergerak, percepat vaksinasi luar bandar

17 bas dijadikan PPV bergerak, percepat vaksinasi luar bandar. Gambar Twitter Abdul Latiff Ahmad.

KUALA LUMPUR 22 Jun - Sebanyak 17 buah bas ekspres diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak untuk mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat luar bandar khususnya Orang Asli di Semenanjung.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, setiap unit bas milik Mara Liner Sdn. Bhd. yang diubah suai itu dilengkapi dengan sembilan kaunter vaksinasi termasuk kaunter untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 

Menurutnya, bas berkenaan mampu untuk memberi vaksin kepada 1,200 penerima dengan tempoh operasi 10 jam.

 

“Sebagai percubaan, dua unit PPV bergerak MARA Liner akan berlepas ke Sungai Siput di Perak Sabtu ini untuk membantu pemberian vaksin kepada masyarakat Orang Asli di beberapa kampung sekitar kawasan itu.

 

“Perak merupakan negeri yang mempunyai masyarakat Orang Asli paling ramai selain Pahang,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikin selepas meninjau PPV bergerak MARA Liner Sdn. Bhd. di Depoh Mara Liner, Batu Muda hari ini.

 

.

 

Semasa PPV berkenaan beroperasi, beberapa kaunter lain termasuk kaunter pengesahan, pendaftaran, konsultasi dan pemerhatian kepada penerima vaksin turut dibuka di khemah bersebelahan.

 

Jelas beliau, kaunter tersebut disediakan selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Menyediakan bekalan vaksin daripada KKM, PPV bergerak tersebut menyediakan dua orang doktor dan jururawat dari U.n.i KLINIK.

 

PPV berkenaan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada semua komuniti luar bandar tanpa mengambil kira sama ada berdaftar melalui aplikasi MySejahtera atau sebaliknya.

 

"Mereka di luar bandar yang tidak pernah mendaftar  untuk mendapatkan vaksin masih boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di PPV bergerak MARA Liner.

 

"Setakat hari ini 28,143 daripada keseluruhan 206,000 komuniti Orang Asli di seluruh Semenanjung telah  menyatakan persetujuan untuk menerima vaksin," ujar beliau. - DagangNews.com