1,800 pelatih diserap masuk bagi fasa pembinaan ECRL - PM | DagangNews Skip to main content

1,800 pelatih diserap masuk bagi fasa pembinaan ECRL - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BENTONG 23 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, warga tempatan disarankan merebut peluang menjalani program latihan teknikal Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur.

 

Ismail Sabri berkata, seramai 1,800 pelatih akan diserapkan bagi fasa pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan baki 3,200 pelatih untuk fasa pengendalian operasi.

 

Beliau berkata, projek ECRL berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dalam bidang industri rel melalui PLKI-ECRL.

 

Justeru katanya, kerajaan yakin PLKI-ECRL yang dilaksanakan bersama-sama rakan kongsi seperti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan berjaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel.

 

"Keyakinan ini disokong oleh sasaran keperluan 23,000 tenaga kerja semasa tempoh puncak pembinaan projek yang dijangka bermula pada tahun 2023," katanya ketika berucap merasmikan permulaan pengorekan terowong ECRL dengan kaedah mesin pengorek terowong (TBM) di tapak pembinaan Terowong Berkembar Genting, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, projek ECRL melibatkan jarak jajaran 665 kilometer (km) merentasi empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dan ia merupakan satu pencapaian bersejarah negara.

 

Beliau berkata, pelaksanaannya menelan kos RM50.27 bilion dan telah menyaksikan tahap kemajuan projek sebanyak 30% sehingga bulan Mei lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Pengorekan Terowong Genting sepanjang 16.39 km ini merupakan satu-satunya daripada penggerudian 59 terowong menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong-terowong sebelum ini.

 

"Mesin TBM buatan China seberat 1,600 tan ini mampu menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi menghubungkan Bentong, Pahang dengan Terminal Bersepadu Gombak, yang menjadi pintu masuk utama ke ibu negara," katanya.

 

Beliau berkata, pembinaan Terowong Berkembar Genting adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan ‘jambatan darat’ atau landbridge bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

 

 

pm

 

 

Jelasnya, pengorekan Terowong Berkembar Genting ini akan selesai dalam tempoh 2 1/2 tahun hingga 3 tahun, menjadikannya terowong rel terpanjang di rantau ini.

 

"Penggerudian terowong bermula dengan penembusan Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer pada 9 April 2021, enam bulan lebih awal berbanding jadual asal. Tujuh buah terowong di Terengganu dan Pahang yang berukuran antara 190 meter hingga 1.1 kilometer setiap satu, telahpun selesai.

 

 

pm

 

 

"Pengorekan Terowong Kuantan sepanjang 2.8 kilometer antara Dungun di Terengganu dan Mentakab di Pahang pula dijangka selesai pada suku keempat tahun ini. Kira-kira 128 kilometer jajaran ECRL akan melibatkan penyediaan jambatan atau jajaran bertingkat untuk mengelak gangguan kepada hidupan liar dan risiko berlaku banjir akibat musim tengkujuh," katanya.

 

Katanya, sebuah lagi struktur utama yang turut dibina di bawah fasa pembinaan di Pahang adalah jambatan ‘Super Major Bridge’ sepanjang 3.88 kilometer menyeberangi Sungai Kuantan. - DagangNews.com