196 projek inovasi terima pengiktirafan emas di RISTEx 2021 | DagangNews Skip to main content

196 projek inovasi terima pengiktirafan emas di RISTEx 2021

 

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengiktiraf 202 projek inovasi yang berjaya dilaksanakan oleh 98 organisasi menerusi penganjuran Majlis Perasmian Penutupan dan Penganugerahan program Regional Innovation Showcase on Team Excellence (RISTEx) 2021.

 

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan kejayaan semua kumpulan Team Excellence (TE) yang bertanding dan menyaksikan penglibatan 1,304 peserta yang berlangsung pada 8 hingga 9 September lalu secara dalam talian.

 

Pelaksanaan program konvensyen ini adalah platform bagi menggalakkan budaya pembelajaran yang sentiasa menambahbaik kemahiran dan pengetahuan pekerja untuk menghadapi cabaran baharu di masa hadapan. 

 

Selain itu, organisasi yang melaksanakan inisiatif kumpulan TE bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama dan kecemerlangan sebagai satu pasukan, malahan saban tahun berjaya meningkatkan penjimatan kos yang merupakan faktor utama dalam meneruskan kelangsungan perniagaan.

 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, melalui semua projek inovasi yang dipertandingkan pada kali ini berjaya merekodkan jumlah penjimatan kos sebanyak RM490 juta. 

 

"Pencapaian ini amatlah dibanggakan yang mana ia membuktikan kita kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran secara kreatif dan inovatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada majlis itu, sebanyak 196 projek inovasi mendapat pengiktirafan emas dan layak untuk bertanding ke Peringkat Kebangsaan iaitu di Annual Productivity and Innovation Showcase (ArISe) 2021 yang akan berlangsung secara atas talian pada 15 hingga 18 November ini. 

 

Selain itu, 10 kumpulan TE telah berjaya menerima anugerah persembahan video terbaik dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500. 

 

Abdul Latif berkata, transformasi negara ke arah ekonomi digital melalui evolusi yang pesat dalam industri 4.0 perlu menekankan kepada sistem kerja yang lebih bersifat automasi dan robotik. 

 

"Pelaksanaan industri 4.0 di peringkat organisasi membolehkan negara mengatasi penguncupan produktiviti buruh sebanyak -5.5% dengan tahap produktiviti RM89,025 tahun lalu berbanding RM93,973 pada 2019 seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Produktiviti 2021," tambah beliau. - DagangNews.com