2 premis TNB diguna sebagai Pusat Kuarantin COVID-19 dan PPV | DagangNews Skip to main content

2 premis TNB diguna sebagai Pusat Kuarantin COVID-19 dan PPV

Sejak 31 Mac 2021, Dewan Kelab Kilat TNB di Pangsapuri TNB di Kapar, Klang, Selangor adalah salah satu daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang memudahkan penduduk sekitar mendapat suntikan vaksin mereka. - Gambar TNB

 

KUALA LUMPUR 27 Jun - Dua premis Tenaga Nasional Berhad (TNB) digunakan sebagai fasiliti membendung pandemik COVID-19, selaras dengan usahanya menyokong Pelan Pemulihan Negara di bawah aspek menyelamatkan nyawa.

 

Sejak 31 Mac 2021, Dewan Kelab Kilat TNB di Pangsapuri TNB di Kapar, Klang, Selangor adalah salah satu daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang memudahkan penduduk sekitar mendapat suntikan vaksin mereka.

 

Sebanyak 1,016 unit di Kolej Kediaman Bestari di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Bandar Muadzam Shah, Pahang pula dijadikan Pusat Kuarantin COVID-19 sejak 15 April lalu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, penggunaan Dewan Kelab Kilat (TNB) di Kapar dapat membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan kemampuan menampung 600 penerima vaksin sehari.

 

"Walaupun jumlah ini tidak besar, ia merupakan tanda komitmen dan sokongan kami terhadap usaha negara meningkatkan kadar vaksinasi rakyat di negara ini,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurutnya, kedua-dua premis ini membolehkan TNB semakin dekat dengan komuniti sekitar kerana fasiliti berkenaan bukan sahaja dapat dimanfaatkan warga kerja TNB dan penuntut UNITEN, malah rakyat terutama bagi mendukung keseluruhan program vaksinasi negara.

 

TNB juga, katanya menawarkan premis TNB yang lain sebagai pusat pemberian vaksin selaras dengan inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus.

 

“Sebagai organisasi yang prihatin terhadap situasi pandemik serta kesannya kepada masyarakat, TNB sentiasa mencari peluang untuk turut serta dalam usaha negara membasmi pandemik COVID-19,” ujar beliau.

 

dagangnews
                               Datuk Ir. Baharin Din

 

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi menjamin kestabilan dan daya harap bekalan elektrik ke lokasi-lokasi kritikal termasuk PPV, Pusat Simpanan Vaksin serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

 

Untuk PPV di Dewan Kelab Kilat di Kapar, TNB telah membuat penambahbaikan pada sistem kawalan di pencawang elektriknya di situ bagi membolehkan pemulihan bekalan lebih pantas sekiranya berlaku sebarang gangguan.

 

TNB
Dewan Kelab Kilat Pangsapuri TNB di Kapar, Klang dijadikan sebagai satu daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Klang sejak 31 Mac 2021.

 

Selain menyelamatkan nyawa, tiga lagi langkah diambil TNB bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara melibatkan aspek melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

 

Dalam inisatif terbaharu melindungi golongan rentan, setakat ini TNB telah berjaya mengumpul lebih RM1.4 juta menerusi potongan gaji secara sukarela warga kerjanya untuk bulan Jun dan Julai.

 

Sumbangan yang dikumpul di bawah Tabung Warga TNB Prihatin ini diagihkan kepada golongan B40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di Semenanjung. - DagangNews.com