2 Sekolah Amanah Malaysia berpeluang raih hadiah RM1.1 juta menerusi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia | DagangNews Skip to main content

2 Sekolah Amanah Malaysia berpeluang raih hadiah RM1.1 juta menerusi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Sejumlah dua Sekolah Amanah Malaysia disenarai pendek bagi pengiktirafan 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$250,000 (RM1.1 juta). 

 

Bagi pengiktirafan 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia itu, tiga sekolah terbaik bagi lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat akan diumumkan.

 

Anugerah berkenaan adalah kerjasama antara T4 Education bersama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express.

 

Sekolah yang tercalon adalah Sekolah Kebangsaan Kempadang dari Kuantan bagi kategori Inovasi manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa, Klang dicalonkan bagi kategori Menangani Cabaran.

 

Lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia meraikan sekolah-sekolah di seluruh dunia yang memainkan peranan penting dalam membangunkan pelajar generasi hadapan dan sumbangan besar mereka terhadap kemajuan masyarakat, terutamanya semasa COVID-19.  

 

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi antara penaja bagi anugerah global ulung itu sambil menyifatkan ia merupakan inisiatif berharga dalam mengiktiraf selain mewujudkan impak positif kepada murid sekolah di seluruh dunia.

 

“Para finalis kami adalah contoh terbaik sekolah yang mantap dengan kisah kejayaan yang memberi inspirasi dan saya mengucapkan tahniah kepada 10 sekolah tersebut.

 

"Kami amat berbangga kerana dua buah Sekolah Amanah Malaysia antara yang tersenarai, membuktikan bahawa sekolah awam mampu menjadi antara yang terbaik di dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata, pihaknya telah melancarkan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia sebagai penyelesaian akar umbi untuk membantu membina perubahan sistemik yang diperlukan. 

 

Beliau berkata, sekolah boleh berkongsi amalan terbaik dan suara mereka dapat didengari oleh pihak atasan untuk membantu transformasi pendidikan.

 

“Saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Kempadang dan SMK Kampong Jawa atas kejayaan disenarai pendek dalam 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang julung kali diadakan," katanya. 

 

Pemenang akan diumumkan pada Oktober 2022 di World Education Week dengan hadiah AS$250,000 (RM1.1 juta)itu akan dikongsi pemenang lima anugerah tersebut. - DagangNews.com