2 tahun tempoh industri automotif kembali pulih | DagangNews Skip to main content

2 tahun tempoh industri automotif kembali pulih

TIV separuh kedua mungkin menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan berbeza dengan tempoh tanpa cukai pada 2018. - Gambar oleh NSTP

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif di Malaysia dan Asia Tenggara dijangka mengambil tempoh dua tahun untuk kembali pulih, mencapai paras sama sebelum penularan COVID-19.

Walaupun kadar faedah diturunkan dengan pemansuhan sementara cukai sedia ada, namun proses pinjaman daripada pihak bank yang lebih ketat memberi cabaran kepada pemulihan sektor berkenaan.

Memetik kenyataan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam analisis CGS-CIMB Research, nilai permohonan sewa beli dalam sistem perbankan mencecah sehingga RM8 bilion pada Jun lalu, namun kadar yang diluluskan turun sehingga 50%.

Situasi itu berbeza dengan purata tempoh tanpa cukai sementara iaitu 65% pada 2018.

“Oleh itu, TIV separuh kedua mungkin menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan berbeza dengan tempoh tanpa cukai pada 2018,” jelas CGS-CIMB. 

MAA menjangkakan TIV mencecah 550,000 pada tahun kewangan 2021 dan 2022 (600,000) yang didorong oleh pemulihan ekonomi domestik dan global dengan sentimen pengguna kembali normal dan perniagaan meneruskan pengeluaran. 

Dalam pada itu, MAA difahamkan turut berunding dengan kerajaan untuk menggunakan semula kaedah nilai pasaran terbuka terdahulu yang dijadualkan akan dikaji semula pada tahun kewangan 2021.

Saranan itu bertujuan mengelakkan harga kereta melambung tinggi terutamanya melibatkan model pemasangan tempatan (CKD).

“MAA sedang mencadangkan kepada kerajaan untuk menawarkan insentif cukai dalam Belanjawan 2021 bagi menggalakkan kemasukan kenderaan elektrik untuk mempromosi Malaysia sebagai hab kenderaan cekap tenaga (EEV) di rantau ini.

“Kami melihat industri ini kekal neutral, bagaimanapun ia mungkin berubah sekiranya ringgit Malaysia (RM) mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun, pengurangan kadar faedah, dan bantuan insentif kerajaan untuk memulihkan permintaan industri,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com