2020 : Aset diuruskan PNB meningkat RM322.6 bilion | DagangNews Skip to main content

2020 : Aset diuruskan PNB meningkat RM322.6 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Di sebalik krisis pandemik COVID-19 sepanjang 2020 yang hampir melumpuhkan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus berdaya tahan dan mencatat prestasi membanggakan. 

 

Pencapaian PNB ini adalah hasil inisiatif pantas dana itu mengaktifkan serta-merta Pelan Kesinambungan Perniagaan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak itu.  

 

Hasilnya, dana itu berjaya meningkatkan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) kepada RM322.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM312 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Malah, Unit Dalam Edaran (UIC) untuk semua 15 dana juga meningkat sebanyak 4% untuk mencapai 264 bilion unit, setelah menerima lebih daripada 200,000 pemegang akaun baru sepanjang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan akaun sebanyak 14.5 juta.

 

PNB juga terus memberikan pulangan yang kompetitif menerusi pengagihan pendapatan dan bonus berjumlah RM11.1 bilion kepada pemegang unitnya pada 2020. 

 

Jumlah ini menjadikan pengagihan pendapatan terkumpul PNB sejak awal penubuhan sebanyak RM211.3 bilion, yang mencerminkan kenaikan 5.5% daripada RM200.2 bilion pada tahun sebelumnya.

 

 

Sumber : Laporan Tahunan PNB 2020
Sumber : Laporan Tahunan PNB 2020

 

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, selain strategi baharu untuk mempelbagaikan pelaburan kelas aset yang lebih luas di pasaran domestik, kemasukan PNB di pasaran antarabangsa juga meningkat secara progresif. 

 

"Kini, kami juga mengintegrasikan agenda kelestarian ke dalam pelaburan kami. Malah, PNB juga akan terus mengorak langkah untuk menjadi institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika dalam pembentangan Laporan Tahunan PNB 2020 secara maya hari ini. Yang turut hadir, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn. 

 

Menurut Zeti, tahun 2020 amat mencabar dalam sejarah, namun PNB telah memperoleh hasil yang signifikan daripada strategi transformasi yang dilaksanakan sejak 2018. 

 

Jelasnya, PNB telah berjaya menghadapi satu lagi iklim pelaburan yang sangat mencabar dan dapat menghasilkan tiga pencapaian yang memberangsangkan pada tahun lalu. 

 

"Kami mengekalkan prestasi kewangan yang berdaya tahan, mencapai kemajuan ketara dalam usaha kepelbagaian
portfolio dan meningkatkan lagi pengalaman pengguna kepada pemegang unit, terutama menerusi platform digital," tambahnya. 

 

Berdasarkan laporan itu, didapati dana harga tetap (FP) PNB, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2 untuk pemegang akaun bumiputera dan Amanah Saham Malaysia (ASM), yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia, terus mengatasi penanda aras masing-masing iaitu kadar Deposit Tetap 12-bulan Maybank. 

 

Malah, ASB dan ASM telah memberikan pulangan positif secara konsisten walaupun FBM KLCI merekodkan prestasi negatif sepanjang lima daripada tujuh tahun yang lalu. 

 

Dana harga berubah (VP) PNB turut mengekalkan kemampuannya dalam memberikan pulangan yang kompetitif seperti yang dibuktikan menerusi pengumuman jumlah pulangan sebanyak dua digit baru-baru ini untuk tiga dana harga berubahnya iaitu ASN Equity 3 (18.7%), ASN Imbang 2 (17.0%) dan ASN Sara 1 (10.8%) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021. - DagangNews.com