2020 : Petronas rugi RM21 bilion | DagangNews Skip to main content

2020 : Petronas rugi RM21 bilion

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Tahun 2020 menjadi tempoh paling mencabar buat syarikat utiliti negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akibat pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan harga minyak mentah global. 

 

Ini menyaksikan Petronas merekodkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM21 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2020 berbanding keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM40.5 bilion pada 2019. 

 

Rosot nilai kumpulan bagi tempoh semasa itu berjumlah RM31.5 bilion ke atas aset. 

 

Namun begitu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan kekal kukuh pada RM55.3 bilion.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) tidak termasuk rosot nilai pula menyusut 78% kepada RM10.5 bilion bagi tempoh itu, berbanding RM48.8 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya sejajar dengan perolehan yang direalisasikan, sebahagian besar diimbangi oleh kos kumpulan yang ditanggung lebih rendah. 

 

Bagi tempoh itu, perolehan kumpulan juga menyusut 25% kepada RM178.7 bilion berbanding RM240.3 bilion untuk tempoh sama 2019 disebabkan kesan kejatuhan harga minyak yang menyaksikan purata rendah harga direalisasikan untuk semua produk dan gangguan permintaan yang mengakibatkan jumlah jualan gas diproses, produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) lebih rendah. 

 

Petronas mengambil beberapa langkah efektif dalam menangani ketidaktentuan daripada permintaan lemah dan harga minyak mentah rendah bagi memastikan daya tahan dan kemapanan kedudukan operasi dan kewangan kumpulan dengan meningkatkan fokus terhadap pemampatan kos, disiplin fiskal dan produktiviti tinggi. 

 

Kesemua langkah ini telah mengurangkan impak negatif makroekonomi terhadap kewangan kumpulan dengan kos kumpulan leboh rendah pada tempoh itu (tidak termasuk rosot nilai) sebanyak RM172.7 bilion berbanding RM197.3 bilion untuk tahun sebelum itu. 

 

Malah, kumpulan juga telah berjaya melepasi sasaran kos ditetapkan pada Mei 2020 iaitu mengurangkan perbelanjaan operasi (opex) dan perbelanjaan modal (capex) masing-masing sebanyak 12% dan 21%. 

 

Usaha pemampatan kos bersama disiplin fiskal juga menghasilkan Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) yang positif sebanyak RM40.7 bilion, walaupun 55% lebih rendah daripada RM90.8 bilion tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, Petronas merekodkan kerugian rosot nilai ke atas aset sebanyak RM1.3 bilion menjadikan LAT berjumlah RM1.1 bilion berbanding PAT RM4.1 bilion bagi tempoh sama 2019.  

 

Untuk tempoh itu, kumpulan terus merekodkan EBITDA yang positif pada RM11.9 bilion. 

 

PAT tidak termasuk rosot nilai bagi tempoh itu pula berjumlah RM200 juta berbanding RM9.4 bilion bagi tempoh sama 2019 terutama disebabkan perolehan yang lebih rendah perbelanjaan lain bersih yang tinggi.

 

Petronas mencatatkan CFFO yang kukuh sebanyak RM8.1 bilion pada suku berkenaan disumbang terutama menerusi pemulihan permintaan yang sederhana dan penigkatan harga komoditi terutama LNG. 

 

Tengku Muhammad Taufik
Tengku Muhammad Taufik 

 

Dalam sidang akhbar secara maya hari ini, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, kumpulan menangani kejutan yang berlaku pada 2020 dengan mengambil langkah berhati-hati dan tindakan sewajarnya bagi meminimumkan impak dan memastikan ia berada di landasan pemulihan di sebalik peralihan tenaga. 

 

"Ketika kali pertama petunjuk pandemik ini mula kelihatan pada awal suku kedua, Petronas tidak terkecuali. Kumpulan harus melalui segala gangguan yang berlaku terhadap operasi dan rantaian bekalan, gangguan permintaan dan evolusi pasaran bagi meminimumkan kesan negatif," katanya. 

 

Beliau berkata dalam pembentangan prestasi kewangan Petronas bagi suku keempat dan tahun berakhir 2020 yang turut dihadiri Pengerusi Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha.

 

Menurut Tengku Taufik, prospek industri bagaimanapun masih kekal berhati-hati dan mencabar apabila permintaan pulih secara sederhana memandangkan impak wabak ini masih berpanjangan. 

 

Katanya, kemunculan jangkitan baharu dan sekatan pergerakan yang terpaksa dilaksanakan semula bagi mengekang penularan pandemik akan terus memberi cabaran kepada industri. 

 

"Namun, Petronas akan kekal optimistik dan berhati-hati dalam merencana masa depan dengan meneroka ruang tenaga baharu dan meneruskan pelaksanaan inovasi," katanya. - DagangNews.com