2021 : Pasaran insurans Malaysia dijangka berkembang 8.8%  | DagangNews Skip to main content

2021 : Pasaran insurans Malaysia dijangka berkembang 8.8% 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Pasaran insurans di Malaysia dijangka kembali pulih dengan berkembang 8.8% tahun ini di sebalik krisis pandemik COVID-19, menurut laporan Insurans Global yang diterbitkan Allianz.

 

Perkembangan itu didorong segmen insurans hayat yang tumbuh 11% manakala segmen hartanah dan kemalangan (p&c) kembali mencatat pertumbuhan lebih sederhana pada 3.6%.

 

"Dalam dekad akan datang, Malaysia dijangka mencapai pertumbuhan pesat pada 7.5% setiap tahun dengan jurang pertumbuhan antara segmen insurans hayat (8%) dan p&C (6.1%) semakin mengecil," katanya. 

 

Pada tahun lalu, pasaran insurans di negara ini berkembang 4.9% disumbang menerusi perniagaan insurans hayat.

 

Ia merangkumi 70% daripada pendapatan premium dan meningkat sebanyak 7.6%, hampir menyamai paras pertumbuhan sebelum krisis COVID-19.

 

Premium bagi segmen p&c pula sebaliknya mencatat penurunan sebanyak 1% dan jauh lebih lemah berbanding sebelum pandemik ini mula merebak.

 

Berdasarkan laporan itu, industri insurans di peringkat global secara dasarnya lemah ketika krisis COVID-19 dan pada 2020, pendapatan premium susut hanya 2.1%.

 

Tetapi insurans hartanah merekodkan peningkatan kecil sebanyak 1.1% manakala insurans hayat merosot 4.1%.

 

Secara keseluruhan, penurunan ini bagaimanapun jauh lebih tinggi berbanding 2009 iaitu -1.1% selepas krisis kewangan global.

 

Namun, menurut laporan berkenaan, insurans global diunjur mencatat pertumbuhan kukuh tahun ini dengan premium berkembang 5.1%.

 

Apa yang mengejutkan, pertumbuhan ini akan dipacu oleh Amerika Syarikat yang berkembang 5.3% manakala China pula 13.4%.

 

Ketua Ekonomi Allianz, Ludovic Subran berkata, industri insurans terbukti berdaya tahan ketika berdepan dengan krisis COVID-19.

 

"Bagaimanapun, ini bukan satu perkara yang mudah. Krisis ini telah meningkatkan permintaan kepada pihak berkepentingan kami. 

 

"Ia bukan sahaja memberi kesan kepada pelanggan kami tetapi bagi yang terlibat dengan pendigitalan sepenuhnya, memiliki pengalaman baharu dalam hubungan dengan pelanggan," katanya.

 

Sementara itu, penulis bersama laporan itu, Michaela Grimm berkata, Asia sedang mengorak langkah dalam pasaran industri global.

 

Dalam dekad akan datang, katanya, rantau ini akan menyumbang 50% kepada pertumbuhan premium global dengan China sahaja menyumbang sebanyak 31%.

 

"Tetapi, pasaran insurans di Asia bukan sahaja hanya berlegar sekitar pertumbuhan, malah ia menjadi batu loncatan kepada teknologi baharu dan model perniagaan," jelas beliau. - DagangNews.com