2021: Pendapatan perkhidmatan mudah alih Celcom, Maxis & Digi dijangka tidak berubah | DagangNews Skip to main content

2021: Pendapatan perkhidmatan mudah alih Celcom, Maxis & Digi dijangka tidak berubah

Pendapatan perkhidmatan mudah alih Celcom, Maxis & Digi dijangka tidak berubah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Prestasi pendapatan perkhidmatan mudah alih syarikat telco Celcom, Maxis dan Digi (Big3) dijangka tidak berubah menjelang tahun 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, ramalan itu dibuat berdasarkan kepada penurunan sebanyak 5.2% berbanding tahun sebelumnya pada tahun 2020 susulan wabak COVID-19, persaingan yang tinggi dan penurunan sebanyak 49% pada kadar sambungan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' kami dalam sektor telco Malaysia.

 

"Kami menjangkakan pendapatan perkhidmatan mudah alih Big 3 (Celcom, Maxis & Digi) tidak berubah pada 2021.

 

"Walaupun kami melihat ramalan pemulihan pendapatan pada tahun 2021 daripada kesan negatif penutupan kedai pada suku kedua 2020 disebabkan oleh PKP, perkara tersebut mungkin diimbangi oleh tekanan persaingan yang berterusan," jelas CGS-CIMB Research hari ini.

 

Pada suku ketiga 2020, Celcom mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai dan pelunasan (EBITDA) terbesar sebanyak 24.2% suku ke suku, dan meningkat 10.8% berbanding tahun sebelumnya dalam kalangan Big 3.

 

Diikuti oleh Maxis dengan pertambahan 2.3% suku ke suku dan -4.1% berbanding tahun sebelumnya dan Digi -0.7% suku ke suku dan -9.3% berbanding tahun sebelumnya.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research turut memberitahu, pihaknya yakin pengendali mudah alih Big 3 akan terus kehilangan bahagian pasaran hasil (RMS) daripada U Mobile.

 

Mengulas berkaitan TM pula, CGS-CIMB Research meramalkan pendapatan syarikat berkaitan akan meningkat sebanyak 2.0% tahun ke tahun pada tahun kewangan 2021.

 

Selain menilai kepada pemulihan sebahagian daripada perbelanjaan Perusahaan ICT, CGS-CIMB turut menilai kepada permintaan yang tinggi kepada jalur lebar gentian, penyewaan serat borong serta pusat data dan perkhidmatan perusahaan awan.

 

"TM didagangkan dengan potongan harga 22% pada tahun kewangan 2021 EV/OpFCF untuk Maxis dan Digi.

 

"Sementara itu, Maxis dan Digi diperdagangkan pada kadar 22% hingga 41%," jelas CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com