2021 : Prospek TNB dijangka terus kukuh - Firma | DagangNews Skip to main content

2021 : Prospek TNB dijangka terus kukuh - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Prospek Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka kekal berdaya tahan tahun ini di sebalik cabaran pandemik COVID-19.  

 

MIDF Research menjangkakan pendapatan syarikat utiliti negara itu bagi tahun kewangan 2021 akan meningkat 22% tahun ke tahun. 

 

Penganalisisnya, Hafriz Hezry berkata, prestasi lebih baik itu disebabkan ketiadaan beberapa faktor seperti dialami pada tahun lalu, antaranya, gangguan jana kuasa di luar jangkaan, kerugian segmen runcit dan pemberian diskaun di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang berjumlah kira-kira RM670 juta. 

 

"Sementara menunggu hasil parameter Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) setakat ini, kami secara konservatif menganggap pertumbuhan marginal bagi pendapatan tahun kewangan 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, untung bersih TNB melonjak 33.5% kepada RM958.7 juta berbanding RM717.9 bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan yang lebih tinggi itu adalah disebabkan pergerakan pasaran, terutamanya tukaran mata wang asing yang menyaksikan kumpulan mencatatkan kerugian tukaran mata wang yang lebih rendah sebanyak RM56.8 juta berbanding RM388 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagaimanapun menyusut dalam kadar yang kecil kepada RM11.48 bilion pada suku berkenaan berbanding RM11.65 bilion tahun lalu.

 

Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, dengan aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula, penguncupan dalam permintaan elektrik semakin mengecil daripada 12.9% pada tahun kewangan 2020 kepada 0.3% pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2021.

 

Beliau juga menjelaskan, prestasi anak syarikat kumpulan kekal memuaskan pada suku pertama tahun ini, disokong oleh pelonggaran pada perintah kawalan pergerakan sejak tahun lalu.

 

TNB pihaknya menjangkakan momentum itu akan berterusan memandangkan kebanyakan perniagaan dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham TNB dengan harga sasaran RM11.80 sesaham. 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong berkata, berdasarkan prestasi suku pertama, pandemik COVID-19 tidak memberi impak kepada TNB sebaliknya hanya melibatkan diskaun tarif berjumlah RM13 juta dalam kewangan suku kedua akan datang. 

 

Bahkan, menurutnya, impak pandemik yang telah menjejaskan kewangan TNB seperti yang berlaku pada tahun lalu, juga mungkin sudah berakhir. 

 

"Bagaimanapun, kami mnegambil kira caj sebanyak RM500 juta akibat COVID-19 ini bagi unjuran separuh pertama 2021. 

 

"Tetapi, kami masih mengekalkan unjuran bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 dan kekal optimis terhadap prospek pendapatan TNB selepas pandemik ini memandangkan ia mempunyai daya tahan yang tinggi," jelasnya. 

 

Kenanga Research mengekalkan harga sasaran TNB pada RM11.76 sesaham. - DagangNews.com