210 syarikat kini memiliki lebih 30% penyertaan wanita dalam lembaga pengarah - PM | DagangNews Skip to main content

210 syarikat kini memiliki lebih 30% penyertaan wanita dalam lembaga pengarah - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-51 Persatuan Wartawan Wanita pada 15 Ogos 2022. - Gambar BERNAMA
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan kaum wanita di negara ini yang banyak berjasa dalam arus pembangunan negara dengan melaksanakan pelbagai inisiatif, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ini dapat dilihat apabila kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Wanita Negara (MWN), Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara (JEWN) dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri (JKWNi) bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan sehingga ke peringkat negeri pada akhir tahun lalu.

 

Selain itu, sebanyak 210 syarikat sendirian berhad setakat ini telah mempunyai lebih 30% penyertaan wanita dalam lembaga pengarah daripada 900 syarikat. 

 

Menurut Perdana Menteri, Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga telah meminda keperluan penyenaraian Bursa Malaysia untuk mewajibkan semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya seorang Ahli Lembaga Pengarah wanita.

 

Katanya, SC menggunakan pendekatan yang standard di mana semua syarikat besar dengan permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion (pada 31 Disember 2021) akan melaksanakan keperluan ini bermula 1 September ini manakala bagi syarikat-syarikat lain pula, ia berkuatkuasa mulai 1 Jun 2023.

 

"Sebelum ini, saya turut mengarah agar penyertaan golongan wanita dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) sekurangkurangnya memiliki 30% wanita sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada 2023," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis hi-tea Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) bersama Perdana Menteri, hari ini bagi meraikan ulang tahun ke-51 Pertama sejak ditubuhkan pada 1971.

 

Antara inisiatif lain yang turut diumumkan termasuklah kebenaran bekerja di rumah bagi wanita yang kematian suami mengikut tempoh yang bersesuaian.

 

Pada masa sama, Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat juga berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara untuk dikuatkuasakan secara berperingkat mengikut fasal.

 

Perdana Menteri berkata, inisiatif-inisiatif merupakan komitmen kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu pihak media termasuklah Pertama. 

 

"Saya merasakan wanita di negara ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi wajar diberi pengiktirafan," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Pertama kerana berjaya melahirkan banyak nama besar dan membantu kerajaan dalam menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara.

 

Menurutnya, tanpa mengira penat dan cabaran dihadapi termasuklah terdedah kepada bahaya, wartawan wanita juga komited melaporkan pelbagai berita, rencana dalam menyebarluaskan maklumat terkini kepada masyarakat.

 

"Hakikatnya, kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi negara hari ini tidak hanya disumbangkan oleh pemimpin negara mahupun tokoh ekonomi, bahkan golongan wartawan termasuk wartawan wanita memainkan peranan penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat sejak sebelum merdeka lagi," tambah beliau. - DagangNews.com