2,195 laman web promosi judi disekat - SKMM | DagangNews Skip to main content

2,195 laman web promosi judi disekat - SKMM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyekat sebanyak 2,195 laman-laman sesawang yang didapati mempromosikan judi dalam talian setakat Mac 2021.

 

Kejayaan itu susulan permohonan rasmi yang dikemukakan oleh PDRM atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain maklumat yang diterima daripada orang awam. 

 

Dalam pada itu, sejumlah 19,765 talian telefon telah ditamatkan atas kesalahan spam SMS yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain setakat tempoh sama, menurut SKMM. 

 

“Daripada aspek penguatkuasaan pula, SKMM telah menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya. 

 

“Ini penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuklah tetapi tidak terhad kepada penipuan dan mempromosi judi dalam talian,” jelas SKMM dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Mengulas lanjut, SKMM turut bekerjasama dengan pihak penyedia  platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan sedemikian mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang  ditetapkan oleh pihak mereka. 

 

Jelas suruhanjaya itu, selain tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, perkara yang turut diberikan keutamaan oleh SKMM ialah usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung aktiviti yang salah di sisi undang-undang,  termasuklah kegiatan judi dalam talian. 

 

Antaranya, program-program advokasi pengguna menerusi kempen-kempen kesedaran di seluruh negara serta melalui hebahan media massa bagi memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai termasuklah golongan muda dan kanak kanak agar mereka tidak terjebak dengan kegiatan judi dalam talian. 

 

“Sehubungan itu, SKMM memberi peringatan kepada pengguna media  sosial agar lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan kandungan-kandungan sedemikian kepada orang lain kerana perbuatan menyebarluaskan kandungan itu hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam mempromosikan perjudian dalam talian yang  boleh memudaratkan masyarakat Malaysia. 

 

“Sekiranya terjumpa sebarang kandungan yang mempromosikan perjudian dalam talian, para pengguna digesa untuk melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” tegas SKMM.

 

Kegiatan perjudian atau promosi perjudian, sama ada secara fizikal mahu pun secara dalam talian, adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 iaitu di bawah bidang kuasa PDRM.

 

Namun demikian, kerjasama strategik antara SKMM dan PDRM telah sedia terjalin dalam usaha untuk membendung perjudian secara dalam talian. 

 

Berkaitan isu ini, pendekatan yang diambil oleh SKMM adalah berupa tindakan pencegahan serta kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna selain penguatkuasaan juga dilakukan bersama pihak PDRM.  - DagangNews.com