2.5 juta pencarum KWSP lulus i-Sinar Kategori 1 | DagangNews Skip to main content

2.5 juta pencarum KWSP lulus i-Sinar Kategori 1

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan sehingga 2.5 juta daripada 3.88 juta jumlah keseluruhan permohonan pencarum di bawah i-Sinar bagi Kategori 1 setakat 4 Januari lalu. 

 

Kelulusan permohonan itu melibatkan nilai pengeluaran semasa sehingga RM19.62 bilion, dengan pembayaran bagi bulan pertama melibatkan jumlah RM10.07 bilion yang dilaksanakan secara berperingkat bermula 5 Januari 2021.


Menurut KWSP, majoriti baki 1.4 juta permohonan yang belum diluluskan itu jatuh di bawah Kategori 2 di mana akan mula dibuka pada 11 Januari 2021. 

 

“Ahli yang tergolong dalam Kategori 2 dinasihatkan untuk mula menyediakan dokumen-dokumen berkaitan seperti slip gaji rasmi (terdapat butiran jumlah keseluruhan gaji termasuk kerja lebih masa dan komisen) dan / atau penyata bank, untuk dimuat naik ke i-Sinar Online.

 

“Bagi memastikan proses permohonan lancar dan cepat, ahli perlu memastikan semua dokumen sokongan yang dihantar jelas, sah dan tepat untuk menyokong permohonan mereka. 

 

“Maklumat tambahan boleh didapati di isinar.kwsp.gov.my,” jelas KWSP dalam sebuah kenyataan. 

 

Tambah institusi itu, daripada 3.88 juta permohonan yang diterima, sebanyak 701 daripadanya tidak diluluskan atas beberapa sebab. 

 

Ini termasuk nombor akaun bank tidak sepadan, permohonan dibuat atas ahli yang telah meninggal dunia atau ahli yang dapat membuat pengeluaran keseluruhan dari Akaun 1 di bawah kemudahan berusia 55 tahun yang sedia ada.

 

Jelas KWSP, pihaknya memberi jaminan bahawa dana tersebut dilindungi daripada pihak ketiga atau penipu yang tidak bertanggungjawab membuat penyerahan palsu dan menimbulkan bahaya bagi simpanan persaraan yang sukar diperoleh oleh ahli.

 

“KWSP menasihati para ahli agar tidak berkongsi gambar atau dokumen penyerahan atau pengeluaran i-Sinar mereka di media sosial, kerana ini akan mendedahkan mereka kepada penipuan dan penipu yang berpotensi.

 

“Dengan mempertimbangkan wabak COVID-19 yang ada sekarang, semua aplikasi hanya dilakukan dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my, dan ahli tidak diminta untuk melawat mana-mana Cawangan KWSP.

 

“Permohonan untuk i-Sinar tetap dibuka sehingga 30 Jun 2021,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com