Skip to main content

3 fasa imunisasi COVID-19, anda di fasa mana?

Vaksin covid-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Kerajaan menyasarkan sebanyak 80% atau 26.5 juta penduduk Malaysia akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu disasarkan melalui roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung Februari yang akan melibatkan tiga fasa.

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

Berikut adalah pembahagian Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan;

 

1) Fasa pertama

  • Melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.
  • Fasa ini amat penting untuk melindungi frontliners kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19. 
  • Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April.

 

2) Fasa kedua 

  • Melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.
  • Mereka ialah warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. 
  • Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini. 
  • Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

 

 

3) Fasa ketiga 

 

  • Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022. 
  • Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh.

 

 

 

Tambah beliau, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara untuk memastikan program tersebut dapat dijalankan dengan lancar.

 

"Saya telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi. 

 

"Peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh Kerajaan untuk mengambilalih secara sementara dewan-dewan dan kemudahan-kemudahan yang lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan," jelasnya. 

 

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Pemasyhuran Ordinan Darurat dalam menguruskan pandemik COVID-19 hari ini.

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di Malaysia.

 

Tempahan vaksin telah berjaya dilakukan dan penghantaran pertama dijadualkan tiba pada bulan ini.

 

Penghantaran pertama vaksin COVID-19 ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95%. - DagangNews.com