Skip to main content

3 ketidakcekapan pasaran buruh dikenal pasti - KSM

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Kementerian Sumber Manusia mengenalpasti 3 ketidakcekapan dalam pasaran buruh yang memerlukan intervensi khusus walaupun pasaran buruh pada suku ketiga 2020 menunjukkan tanda-tanda pemulihan. 

 

Menterinya, M.Saravanan berkata, untuk itu, kementerian akan terus memantau keadaan pasaran buruh di Malaysia dari semasa ke semasa. 

 

"Selain itu, pihak kerajaan juga akan memberi perhatian kepada intervensi yang bersesuaian untuk meningkatkan pemulihan dan kecekapan pasaran buruh negara," katanya. 

 

Berdasarkan kenyataan hari ini, berikut adalah 3 perkara utama yang perlu diberi perhatian khusus. 

 

  • Golongan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Juruteknik (PMET) adalah golongan mudah terjejas dalam mengekalkan pekerjaan kerana dilihat tidak 'imun' terhadap krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. Malah, kadar kehilangan pekerjaan untuk kategori PMET adalah yang tertinggi tetapi mempunyai kadar penempatan pekerjaan paling rendah berbanding kategori bukan PMET

 

  • Ketidakpadanan kelayakan pekerjaan kekal meluas dalam pasaran buruh. Kekosongan jawatan (permintaan pekerjaan) tertumpu kepada kategori bukan PMET yang mewakili 70% daripada jumlah kekosongan pada sukuan ketiga, berbanding dengan 54% pencari kerja yang berkelulusan tertiari yang lebih sesuai untuk mengisi kekosongan kategori PMET

 

  • Lebihan kekosongan jawatan dalam pasaran buruh. Pada September, jumlah kekosongan pekerjaan telah meningkat 2 kali ganda berbanding jumlah pencari kerja. Antara faktor yang mempengaruhi perkara ini ialah keutamaan pekerja untuk mendapatkan pekerjaan dengan kadar segera dan fleksibel terutama dalam bidang pekerjaan tidak formal, kadar tawaran gaji yang lebih rendah kepada pencari kerja PMET dan keutamaan lokasi dalam menerima tawaran kerja

 

Laporan Quarterly Labour Market Perspectives: Growth and Labour Market Recovery bagi suku ketiga 2020 menunjukkan prestasi ekonomi dan keadaan pasaran buruh pada suku pertama hingga suku ketiga mengikut Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan penempatan pekerjaan bergerak secara selari. 

 

Ia dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Skim Insurans Pekerjaan (EIS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Menurut M.Saravanan, kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan pula menunjukkan pergerakan ke arah yang bertentangan dan ini menandakan isyarat positif dalam aspek pemulihan ekonomi dan pasaran buruh.

 

Katanya, penambahbaikkan dalam pasaran buruh ini dijangka mencapai momentum yang lebih baik pada suku keempat 2020. 

 

"Untuk itu, kadar pengangguran pada suku keempat 2020 diunjur pada kadar 4.69% dan kehilangan pekerjaan dijangka mencecah 22,560 orang," katanya. - DagangNews.com