3 saman difailkan terhadap Utusan | DagangNews Skip to main content

3 saman difailkan terhadap Utusan

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Syarikat penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang dahulu, Utusan Melayu (M) Berhad berdepan tiga tindakan saman oleh bekas kakitangannya yang diberhentikan kerja serta-merta tahun lepas.

Menurut laporan Edisi9, saman pertama telah difailkan kepada mahkamah yang perbicaraannya akan dimulakan di Mahkamah Tinggi pada 10 September ini.

Kes kedua pula perbicaraan kes yang dijalankan di Mahkamah Perusahaan pada 19 September ini selepas mendapat arahan Menteri Sumber Manusia, hasil aduan bekas kakitangan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).

Saman ketiga pula akan difailkan oleh 300 bekas kakitangan bukan NUJ.

“Selepas kejayaan NUJ memfailkan saman mereka, lebih 300 kakitangan lagi (tidak termasuk NUJ) juga akan mengambil tindakan yang sama,” kata jurucakap jawatankuasa bertindak kes saman tersebut.

Pihaknya  telah bersetuju untuk menggunakan khidmat Tetuan Raja Riza & Associates bagi memfailkan tindakan undang-undang berkenaan dalam masa terdekat.

Setakat ini, seramai 320 bekas kakitangan telah menandatangani persetujuan mereka untuk menyaman Utusan Melayu melalui mahkamah sivil, selain tindakan melalui Mahkamah Perusahaan.

Pada 9 Oktober tahun lalu, seramai 862 kakitangan ditamatkan perkhidmatan setelah Utusan Melayu mengisytiharkan penggulungan secara sukarela dengan serta-merta tanpa membayar sebarang bentuk faedah.

Malah, syarikat masih berhutang bayaran bagi pihak kakitangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Berjadual (PCB) cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bayaran baki cuti dan sebagainya. - DagangNews.com