30% diskaun sewa premis MARA hingga April 2021 | DagangNews Skip to main content

30% diskaun sewa premis MARA hingga April 2021

MARA

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju untuk memberi diskaun 30% penyewaan premis pernigaan bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021.

 

Melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau turut menyarankan lebih banyak agensi dan syarikat untuk turut menawarkan penjadualan semula pinjaman dan diskaun sewa premis perniagaan.

 

Dalam pakej bantuan sama, Muhyiddin memberitahu,  kerajaan telah memberi potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30%.

 

Potongan cukai khas itu diberikan bermula 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021.

 

"Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, potongan khas ini akan diperluaskan untuk meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat bukan PKS.

 

"Tempoh potongan khas ini juga akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

 

"Selain itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan PKPB," tambah beliau lagi. 

 

MARA juga akan meneruskan program MARA Prihatin Peace of Mind 2.0 yang membolehkan peminjam membuat permohonan untuk penjadualan semula bayaran balik kemudahan pinjaman pelajaran MARA atau moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021. 

 

Usahawan MARA yang terkesan akibat COVID-19, PKP dan bencana banjir boleh membuat Program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan MARA. - DagangNews.com