Skip to main content

300 guru di Perak masih belum terima vaksin COVID-19

 

IPOH 14 Okt - Kira-kira 300 guru sekolah di Perak masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 sehingga kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

 

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, guru-guru ini masih menunggu tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, dan ada antara mereka yang belum membuat pendaftaran bagi vaksinasi.

 

"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berusaha menghubungi guru-guru yang masih belum menerima vaksin COVID-19 ini.

 

''Kita sentiasa cuba untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan isu vaksin membabitkan guru," katanya dan menambah berdasarkan rekod terdapat seramai 37,590 guru sekolah di Perak ketika ini.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Perak, dan turut hadir ialah pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak Supian Alias.

 

 

Ahmad Saidi Mohamad Daud
Ahmad Saidi Mohamad Daud

 

 

Sementara itu Ahmad Saidi berkata, 168,897 daripada 184,956 pelajar sudah menerima dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
Remaja setakat semalam.

 

"Seramai 64,562 daripada 70,408 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun yang mendaftar sudah divaksin manakala bagi yang berusia 12 hingga 15 tahun pula, seramai
104,335 daripada 114,548 pelajar sudah divaksin,'' katanya.

 

Beliau berkata semua pusat pemberian vaksin (PPV) awam termasuk di sekolah di negeri ini dijangka ditutup sepenuhnya pada hujung bulan ini. - DagangNews.com