35 pekerja Hartalega positif COVID-19, kerugian dianggar 0.5% | DagangNews Skip to main content

35 pekerja Hartalega positif COVID-19, kerugian dianggar 0.5%

Hartalega Holdings Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Seramai 35 pekerja syarikat pembekal sarung tangan getah, Hartalega Holdings Bhd. (Hartalega) disahkan positif wabak COVID-19.

 

Perkara tersebut disahkan oleh syarikat berkenaan dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

 

"20 daripada jumlah tersebut adalah kakitangan di kilang Bestasi Jaya dan 15 orang lagi di Next Generation Integrated Glove Manufacturing Complex (NGC) di Sepang.

 

"Pekerja yang terjejas sedang menerima rawatan perubatan di kemudahan kesihatan kerajaan mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

"Semua kontak rapat dalam tempoh 14 hari terakhir telah dikenal pasti dan dikuarantin serta akan menjalani ujian selanjutnya sebelum dibenarkan kembali bekerja," jelas Hartalega.

 

Mengulas lanjut, Hartalega berkata, beberapa barisan pengeluaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

 

Susulan itu, kerugian kapasiti syarikat berkenaan dianggarkan kurang daripada 0.5% output tahunan.

 

Proses pembasmian kuman juga telah dijalankan secara menyeluruh oleh penyedia profesional pihak ketiga.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, langkah kesihatan ketat yang dijalankan oleh pihaknya pada awal pandemik membantu pihaknya mencatatkan kadar positif yang rendah iaitu hanya 0.4% daripada semua pekerja.

 

Ujarnya, jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah daripada kadar positif di kilang-kilang sama yang lain.

 

Dalam kenyataan yang sama, Hartalega memaklumkan pihaknya  telah dijalankan ujian COVID-19 ke atas 8,772 kakitangan tempatan serta vendor luar seperti anggota keselamatan dan pengendali kantin.

 

Ujian tersebut dijalankan secara bertahap di NGC di Sepang dan kilang operasi di Bestari Jaya serta penjabat Hartalega di Petaling Jaya dan Bandar Sri Damansara. 


Proses ujian berkenaan bermula pada 7 hingga 10 Disember baru-baru ini. - DagangNews.com