392,000 rakyat Korea Selatan hilang kerja pada September akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

392,000 rakyat Korea Selatan hilang kerja pada September akibat COVID-19

Penduduk Korea Selatan

SEJONG 16 Okt. - Seramai 392,000 rakyat di Korea Selatan kehilangan pekerjaan pada bulan September 2020 akibat penularan wabak COVID-19.

Jumlah tersebut sekali gus menjadikan jumlah penduduk bekerja di negara berkenaan menurun untuk bulan ketujuh berturut-turut.

Menurut statistik yang dikeluarkan negara berkenaan, kadar pengangguran di negara berkenaan turut meningkat sebanyak 0.5% kepada 3.6% pada September dengan jumlah penduduk bekerja jatuh kepada 27.01 juta orang.

Jumlah tersebut adalah kejatuhan paling lama sejak penurunan selama lapan bulan yang pernah dicatatkan pada tahun 2009 di tengah-tengah krisis kewangan global, lapor portal berita Yonhap.

Jumlah pekerja yang berumur antara 15 hingga 64 tahun menyaksikan penurunan sebanyak 1.2% kepada 60.3%.

Kadar pengangguran dalam kalangan mereka yang berumur antara 15 hingga 29 tahun mencapai 8.9% pada bulan sama, meningkat 1.6% pada 2020.

Penularan wabak berkenaan memberi kesan kepada pekerja sementara di negara tersebut yang menjunam sebanyak 303,000 pada September, manakala pekerja harian juga turut merosot kepada 41,000 sepanjang tempoh sama.

Jumlah pengangguran di negara berkenaan mencecah satu juta pada September dengan peningkatan seramai 116,000.

Peningkatan itu disumbangkan oleh penduduk yang berumur 40 tahun ke atas.

Mengikut perindustrian, sektor penginapan dan perkhidmatan makanan mencatatkan penurunan 225,000 pekerjaan pada bulan lalu, sementara sektor borong dan runcit kehilangan 207,000 pekerjaan.

Bagaimanapun, sektor kebajikan sosial memperoleh 135,000 pekerjaan pada bulan berkenaan, dan sektor pembinaan turut menambah 55,000 pekerjaan. - DagangNews.com